IPOH – Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka hari ini, masing-masing di tiga daerah iaitu Kampar, Hilir Perak dan Larut Matang Selama susulan paras air sungai berhampiran naik ekoran hujan berterusan melanda sejak semalam.

Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, setakat pukul 12 tengah hari tadi, keseluruhan seramai 162 mangsa banjir membabitkan 55 keluarga dipindahkan beransur-ansur ke PPS yang mula dibuka sejak malam tadi.

Di Larut Matang Selama, seramai 64 orang (26 keluarga) dari tiga buah kampung iaitu Kampung Temerlok, Kampung Tengah dan Kampung Tebok kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Temerlok, Trong.

Mangsa banjir di Kampar pula seramai 41 orang (13 keluarga) dari dua buah kampung iaitu Kampung Tebing Tinggi dan Kampung Pulau Pisang, kini ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tebing Tinggi.

Sementara itu, di Hilir Perak pula seramai 57 mangsa banjir (16 keluarga) dari Kampung Batu 9, ditempatkan di PPS di SK Changkat Jong yang mula dibuka kira-kira 10 pagi tadi setelah air Sungai Bidor melimpah. – Bernama