Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KUALA KANGSAR: Seramai 10 keluarga asnaf dari empat daerah di sekitar Perak hari ini lega apabila menerima bantuan pembinaan rumah baharu berjumlah RM500,000 daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad ( BPMB).

Kesemua mereka yang kebanyakannya terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya dan fakir miskin itu masing-masing menerima RM50,000 bagi kos pembinaan kediaman mereka yang dilengkapi dengan perabot rumah serta kemudahan asas.

aa7beb4f-6bb3-4818-aaca-df47fb58412a

Timbalan Presiden Kanan Kumpulan BPMB, Mohd Yazid Safuan berkata, sumbangan di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu dijalankan dengan kerjasama daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Menurut beliau, proses mengenalpasti golongan asnaf di sekitar empat daerah itu dijalankan oleh MAIPk bagi memastikan golongan tersebut tidak terpinggir dan berpeluang menjalankan kehidupan seharian dengan lebih selesa.

“Perak merupakan negeri pertama yang menerima bantuan daripada BPMB dalam projek berskala besar, sebelum ini kita pernah memberikan sumbangan untuk pembinaan rumah bagi membantu mangsa banjir di Kelantan, sumbangan van jenazah, pemberian zakat dan bantuan anak yatim dan ianya berskala kecil.

“Kos bagi sebuah rumah tiga bilik memakan belanja sebanyak RM46,000 dan selebihnya kita gunakan untuk membeli perabot rumah jadi mereka dapat mendiami rumah baru itu secara terus sebaik sahaja siap,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan di sini pada Rabu.

Mohd Yazid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai agensi lain di seluruh negara bagi meneruskan usaha dan inisiatif untuk program CSR bagi meningkatkan taraf hidup dan memberikan keselesaan bagi mereka yang memerlukan.

Dalam majlis tersebut, seramai 10 keluarga daripada empat daerah sekitar Perak menerima sumbangan dan replica kunci rumah daripada BPMB bersama ahli keluarga masing-masing.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Muhamed serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan), Wan Maizura Wan Zahari.