Kaherah: Seorang penari gelek terkenal Mesir mencetuskan rasa tidak puas hati di negara itu, termasuk dalam kalangan ulama apabila berkata, dia menandatangani kontrak dengan sebuah stesen televisyen satelit untuk mengendalikan program agama sepanjang Ramadan akan datang.

Sama el-Masry memberitahu akhbar Al-Arabiya, dia serius mengenai perkara itu dan akan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai rancangan berkenaan.

Menurutnya, dia akan menjadi hos program, termasuk menjemput tetamu dari kalangan golongan agama untuk bercakap mengenai kepentingan menghormati ibu bapa dan kesan dari segi agama bagi mereka yang ingkar terhadap orang tua masing-masing.

Sama mengaku berdepan masalah untuk mengendalikan program berkenaan kerana tidak mahu bertudung bagi menutup rambutnya sepanjang program itu kerana tidak berbuat demikian dalam kehidupan sehariannya.

Pengumuman Sama mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkan dia tidak sesuai mengendalikan program agama, lebih-lebih lagi ketika Ramadan.

Sebahagian mereka mendesak supaya program itu dipulaukan. – Agensi