IPOH 26 Nov. – Bantahan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir serta keengganannya mengikuti sesi pendengaran awam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) akan dirujuk akan dirujuk kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ngeh Ko Ham, esok.

Pengerusi PAC, Leong Cheok Keng berkata, selain Zambry, turut akan dirujuk kepada Ko Ham ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Datuk Aminudin Hashim yang bertindak tidak hadir pada sesi berkenaan.

Cheok Keng, ini kerana tindakan kedua-dua saksi penting berkenaan menyebabkan sesi pendengaran awam berkaitan akaun anak syarikat kerajaan negeri, MB Inc. yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguhkan.

“Kita amat kecewa kerana isu teknikal menjadikan prosiding ini tidak boleh dijalankan terhadap kedua-dua saksi. Oleh itu kedua-dua akan dirujuk kepada Speaker DUN dan DUN juga akan membuat keputusan terhadap kedua-dua mereka.

“Setakat ini tiada sebarang tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka walaupun PAC ada kuasa untuk berbuat demikian dan kami memutuskan supaya prosiding dihenti dan ditangguhkan selepas mengadakan perbincangan,” katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PAC Chong Zhemin, dan Ahli Jawatankuasa PAC negeri iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor Yahaya Mat Nor; ADUN Teja, Ng Shy Ching (PKR) dan ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria (PAS).

Dua lagi Ahli Jawatankuasa PAC iaitu ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dan ADUN Slim, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib tidak hadir.

Cheok Keng berkata, PAC membuat pendengaran awam tersebut bagi memegang prinsip ketelusan dan bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada mereka. – UTUSAN ONLINE