IPOH: Kontroversi pelantikan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin sebagai Penasihat Menteri Besar Perak dalam kepimpinan negeri telah diselesaikan secara baik malah diterima baik oleh pihak Otai Reformis, kumpulan yang bertanggunjawab mencetuskan bantahan.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Muhammad Nur Manuty berkata hasil pertemuan Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu dengan wakil Otai Reformis dari seluruh negara telah membuahkan satu kata sepakat yang positif.

Katanya, Ahmad Faizal telah berjaya meyakinkan dan memberikan penjelasan kepada kesemua pihak yang melahirkan rasa tidak puas hati itu mengenai kedudukan sebenar jawatan Zainol Fadzi yang bukan bertaraf eksekutif.

“Mereka telah berbincang,…kedudukan Penasihat Khas MB ini bukanlah bertaraf eksekutif tetapi lebih kepada penasihat biasa, yang boleh dimanfaatkan pengalamannya sebagai seorang ADUN dan bagi mengukuhkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Perak.

“Jadi, isu itu Alhamdullilah, telah selesai dan mereka bersetuju untuk tidak menimbulkan lagi (sebarang masalah), dan kami bergembira,…bolehlah saya sebutkan di sini dengan tegasnya bahawa Pakatan Harapan khususnya Keadilan mendukung penuh kepimpinan Ahmad Faizal sebagai MB Perak,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa PKR Negeri Perak bersama media di sini, hari ini.

Dr Muhammad menegaskan bahawa pihaknya juga bersedia untuk melihat Ahmad Faizal selaku Menteri Besar membuat dan melaksanakan keputusan lebih penting kelak untuk memastikan kelancaran pentadbiran Pakatan Harapan di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail berkata pertemuan yang berlaku sekitar 12.49 tengahari tadi itu memperlihatkan kata sepakat daripada empat wakil NGO Otai Reformis menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan kerajaan Pakatan di negeri ini.

“Mereka akhirnya jelas dengan senario yang berlaku, kerana kita membawa fokus kita nak bekerja. Maklum balas mereka baik, berpuas hati dengan penjelasan MB dan ingin menjadi tulang belakang, bagi memastikan NGO-NGO di negeri Perak menjadi tulang belakang MB dan kerajaan PH, dalam memastikan janji yang kita bawa itu sampai dan terlaksana di peringkat akar umbi,”katanya.

Siti Aishah juga menekankan bahawa Zainol akan kekal sebagai Penasihat MB Perak dengan tiada keistimewaan kecuali dibekalkan keperluan asas bersesuaian dengan jawatan beliau.

“Kalau dalam klausa kerajaan negeri, dia penasihat bertaraf exco tanpa kuasa eksekutif, maksudnya dia tidak ada tanggungjawab kepada kerajaan negeri, dia hanya dibekalkan dengan kenderaan, pemandu, pejabat dan juga pegawai tetapi dia tidak mempunyai hak untuk masuk ke mesyuarat exco dan membincangkan (apa-apa) berkenaan dasar, dia berbentuk (advisory), tidak ada bidang fokus khusus”katanya lagi.