PANGKOR: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendedahkan bantahan terhadap projek tambak laut Teluk Muroh didalangi ‘orang luar’.

Katanya kumpulan ini bukanlah orang tempatan atau nelayan yang didakwa tidak bersetuju dengan perlaksanaan projek itu atas alasan menjejaskan pendapatan.

Menurutnya kerja-kerja tambak laut itu dilaksanakan bagi membolehkan pelan penempatan semula keluarga nelayan setinggan direalisasikan kerajaan negeri setelah mendapat persetujuan daripada ketua kampung, imam dan penduduk kampung di situ.

Beliau menegaskan projek tambak laut itu bukan untuk memberi mana-mana syarikat korporat membuat keuntungan besar dengan menjadikan ia projek komersial.

Justeru, beliau menggesa pihak yang membantah supaya tampil dengan bukti bahawa pembangunan di persisiran pantai itu bertujuan memberi kekayaan kepada kroni kerajaan negeri atau syarikat korporat besar.

Beliau juga mahu pihak itu supaya membuktikan sekiranya ada mana-mana keluarga nelayan di sekitar Teluk Muroh dihalau keluar bagi memberi laluan kepada projek itu.

“Apakah saya melakukan projek ini untuk mengayakan kroni atau korporat besar? Apakah saya menghalau rakyat atau apakah saya buat ini untuk rakyat, jawab soalan ini dulu,”tegas beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir merasmikan Seminar Persuratan Bahasa Melayu Merentasi Zaman di SMK Pangkor, Pasir Bogak pada hari kedua Festival PULARA.

Dr Zambry juga menegaskan bahawa niat kerajaan negeri sama sekali bukan untuk kepentingan sendiri atau komersial tetapi untuk memberikan keselesaan kepada golongan nelayan di situ.

Tambah Dr Zambry, projek itu tidak akan dilaksanakan sekiranya penduduk kampung nelayan membantah dan menolak pembangunan itu.

“Kita bukan macam sesetengah negeri lain yang menghalau nelayan untuk membolehkan syarikat melaksanakan projek pembangunan,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan sesetengah pihak yang memanggil aktivitis alam sekitar untuk mengadakan demonstrasi, Dr Zambry berkata mereka datang menyertainya tanpa sebarang usul periksa malah atas kepentingan masing-masing.

“Masalahnya yang datang ke Teluk Muroh dan melakukan aduan itu semuanya orang luar, kalau orang kampung sendiri tak apalah…yang buat demontrasi pun bukan asalnya situ.

“Cuma ada seorang ini, dia tidak puas hati sebab seolah-olah projek yang dijalankan itu kelak akan menghalang pemandangan rumah besar miliknya, itu yang dia bawa semua orang luar masuk katakan projek ini ganggu alam sekitar,”ujar beliau.

Malah, Dr Zambry menegaskan projek yang kini dalam fasa pertama itu telah mendapatkan kebenaran dan kelulusan daripada pihak terlibat sebelum pelaksanaannya dapat diteruskan.

“Kalau jabatan terlibat kata tak boleh buat, tak mungkin kita abaikan…kita tak akan buat.

“Nasihat saya, jika ada yang tak jelas datang jumpa Pegawai Daerah. Tolong jangan samakan atau gambarkan projek Teluk Muroh dengan mana-mana projek mega lain yang menghalau nelayan untuk kepentingan korporat sahaja,”katanya lagi.

Projek tambak laut itu merupakan inisiatif kerajaan negeri khususnya Dr. Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor kerana mahukan masalah penempatan setinggan melibatkan nelayan di kawasan berkenaan diselesaikan.

Langkah menambak laut itu dibuat setelah mengambil kira ketiadaan tanah kerajaan sekitar Lumut yang masih kosong untuk dijadikan penempatan semula selain permintaan nelayan sendiri yang mahu tinggal di kawasan persisiran pantai bagi memudahkan mereka ke laut mencari rezeki.

Projek Teluk Muroh itu bertujuan membantu keluarga nelayan yang telah dibelenggu masalah penempatan sejak bertahun lamanya disebabkan tanah kampung yang mereka tinggal ketika ini berstatus tanah persendirian.