TELUK INTAN – Kemarahan dunia terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel masih belum reda terutamanya dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Jumaat lalu, lebih 300 penduduk Islam di Teluk Intan, mengadakan satu demonstrasi bantahan atas tindakan trump selepas Solat Jumaat di perkarangan Masjid Sultan Idris Shah II, di sini.

Demonstrasi anjuran Pakatan Harapan Teluk Intan selepas solat Jumaat berkenaan bertujuan mengutuk tindakan Trump yang dianggap biadab.

Pengerusi Amanah Teluk Intan, Sheikh Ahmad Kabir Mahdin berkata, perhimpunan aman berkenaan diadakan sebagai bantahan dan ketidakpuasan hari umat Islam di Teluk Intan atas tindakan Trump mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel selain memindahkan kedutaan AS di situ.

“Kita akan terus bersama-sama rakyat Palestin mempertahankan bumi mereka daripada terus dijajah oleh rejim Zionis dan memberi kesedaran kepada pemimpin Islam dunia bahawa kepimpinan mereka hari ini begitu lemah.

“Kerana itulah Trump ambil kesempatan melakukan tindakan demikian yang kita anggap menghina umat Islam seluruh dunia,” katanya selepas perhimpunan tersebut, Jumaat lalu.

-SinarHarian