IPOH: Kerajaan mengarahkan semua kementerian berkaitan agar mengambil langkah segera dan tindakan tegas berhubung kes keracunan metanol yang sehingga kini mengakibatkan 29 kematian dengan keseluruhan 76 kes di Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata isu berkenaan dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu, di mana kerajaan mengarahkan kementerian yang berkaitan agar mengambil lebih tindakan tegas dan kawal selia yang lebih ketat.

“Tindakan tegas perlu diambil bukan sahaja apa yang sudah berlaku ketika ini, tetapi tindakan pencegahan kerana arak yang menyebabkan kematian ini dipercayai ada merata-rata seluruh negara.

“Apa yang membimbangkan arak ini bukan hanya dijual di kedai-kedai tetapi ada juga yang dibuat sendiri oleh pekerja asing,” katanya ketika ditemui di Program Gaya Hidup Selamat dan Sihat anjuran kementeriannya di Bukit Kledang, di sini hari ini

Beliau berkata, lebih membimbangkan arak yang sangat mudah diperoleh itu kerana harganya yang murah akan diminum golongan remaja tempatan.

“Kita tahu memang ramai remaja yang turut membeli dan minum arak termasuk yang di bawah umur 18 tahun, sebab itu pada mesyuarat Kabinet yang lalu kerajaan memberi perhatian terhadap isu ini.

“Ini supaya arak sedemikian yang jual dengan berleluasa diambil tindakan tegas oleh semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) selain ibu bapa turut perlu memantau anak mereka agar tidak terbabit gejala minum arak ini,” katanya.

Kulasegaran berkata, rakyat Malaysia juga diingatkan agar lebih berhati-hati dan apa yang penting jangan minum arak kerana ia ternyata tidak baik untuk kesihatan.

“Kita juga mahu pekerja asing yang datang sini mencari rezeki dalam keadaan sihat dan boleh pulang ke negara asal mereka dengan selamat kelak kerana sedih mengenangkan kebanyakannya sudah menghabiskan banyak duit untuk datang bekerja di sini tetapi disebabkan arak nyawa melayang

“Saya harap majikan juga main peranan dengan mengambil tindakan memeriksa pekerja warga asing di hostel atau kediaman mereka agar tiada gejala minum arak yang membahayakan nyawa ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata semua pihak perlu menyertai pelbagai aktiviti sihat dan berfaedah seperti program pendakian yang dianjurkan kementeriannya hari ini.

“Rakyat Malaysia adalah antara yang paling gemuk berbanding negara lain iaitu lebih kurang 46 peratus yang obese dan menghidapi pelbagai penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan sebagainya.

“Gaya hidup selamat dan sihat ini akan menjadikan masyarakat dan pekerja yang lebih sihat serta mampu melakukan kerja dengan lebih baik, sekali gus meningkatkan produktiviti,” katanya – berita harian