IPOH – Badan Berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak digesa bersikap lebih proaktif terhadap hasrat dan dasar kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu dapat dilihat melalui hasrat kerajaan membantu masyarakat Orang Asli dengan mengharapkan sokongan GLC di negeri ini mengambil kampung-kampung mereka sebagai kampung angkat.

Menurutnya, dalam tempoh tujuh bulan hasrat tersebut diuar-uarkan, hanya dua GLC sahaja iaitu Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang menyahut hasrat tersebut.

“Di mana agaknya GLC-GLC lain? Selain daripada yang dua ini, tiada langsung mana-mana GLC lain yang datang dan menawarkan diri kepada saya untuk menyambut hasrat tersebut.

“Saya percaya, GLC kita mempunyai kelebihan untuk membantu menigkatkan sosio ekonomi di kampung angkat berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2019 di Hotel Kinta Riverfront Ipoh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu GLC terlibat secara langsung dalam mewujudkan peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan pendidikan anak-anak Orang Asli yang diyakini mampu mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.

“Dengan keuntungan diperolehi, apalah salahnya kita berkongsi bersama saudara-saudara kita di perkampungan Orang Asal di Sungai Siput, Grik serta lereng-lereng jalan berhampiran Simpang Pulai? Kosnya bukan tinggi mana pun malah kerja yang perlu dilakukan pun tidak banyak.

“Jadi saya harap jika ada usaha kerajaan yang memerlukan kerjasama GLC demi kebaikan rakyat selepas ini, mohon diberi perhatian tanpa perlu saya hubungi ahli-ahli lembaga pengarah GLC di Perak ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut meminta kesemua GLC kembali kepada objektif penubuhan syarikat masing-masing bagi mengelak pertindihan fungsi dan bersaing sesama sendiri.

Menurutnya, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap GLC juga ditetapkan untuk mengukur prestasi semua GLC dan akan dipantau perkembangan mereka setiap enam bulan – sinar harian