Nama:  Dato’  Nasaruddin Hashim

Nama isteri: Datin Sunarti Abdullah

Anak: 4 orang

Pendidikan awal:

S.K Seri Kaya, Bota Kiri (1957)

Sekolah Menengah Iskandar Shah

Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) (1968) dan Universiti Malaya (1970-73).

Pembabitan politik:

Ahli UMNO Cawangan Bota Kiri (1970-an)

Ketua UMNO Cawangan Bota Kiri (1984)

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian (1987), Jawatankuasa Bahagian

Naib Ketua UMNO Bahagian (2004 dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian (2013).

SEKALI pandang, orangnya kelihatan garang. Namun, sebaik memulakan bicara, perbualan sukar dihentikan gara-gara keramahan beliau. Apa sahaja isu yang diketengahkan sebagai modal bersembang, beliau sentiasa ada buah fikiran untuk diperkatakan.

  Selain petah berkata-kata, Dato’ Nasaruddin Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota begitu teruja setiap kali bercerita mengenai hal ehwal kehidupan rakyat di kawasannya.

  Walaupun sudah bergelar Yang Berhormat, beliau masih dikenali dengan panggilan `Man’ dalam kalangan penduduk. Nama itu sudah lama terlekat di minda penduduk di sebalik hakikat beliau kini juga merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

  “Jawatan tidak pernah membatasi hubungan saya dengan rakyat. Hakikatnya, merekalah yang letak saya di sana (DUN) ,’’ katanya ketika ditemui Suara Rakyat baru-baru ini.

 

 

Ditanya apa rahsia yang membolehkan beliau begitu rapat dengan penduduk di kawasannya, Nasaruddin berkata, pengalamannya menjawat beberapa jawatan dalam kerajaan mungkin menjadi pemangkin utama.

  Beliau pernah menjawat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Melaka dan bekas Pegawai Daerah Sabak Bernam.

  Datang daripada keluarga kampung, Nasarudin sentiasa insaf dan bersemangat untuk membantu masyarat kampung dalam DUN Bota yang sebahagian besarnya menyara keluarga dengan mengusahakan tanaman pertanian termasuk padi dan kelapa sawit.

  Tidak hairanlah, sebaik dipilih menjadi wakil rakyat, beliau memfokuskan dua perkara penting iaitu memperbaiki infrastruktur pertanian bagi menambah hasil keluaran padi dan meningkatkan tahap pendidikan anak-anak golongan itu.

  Bagi Nasaruddin, beliau tidak gemar menyebut soal bantuan kerana baginya, perkara paling penting ialah memperbaiki infrastruktur pertanian bagi menambah hasil keluaran padi yang kini diusahakan 3,000 keluarga petani dalam DUN Bota.

  “Kalau cakap mengenai sawah padi yang paling penting bagi saya ia mengawal kemasukan air. Kalau kita ada tanah sawah bendang, tetapi kita tidak dapat kawal air, maka ia akan menjadi sia-sia kerana kita tidak boleh buat kerja.

  “Saya belajar ketika menjadi Pegawai Daerah Sabak Bernam. Saya lihat bagaimana hebatnya petani Sekincan dan Sabak Bernam  kerana mendapat antara lapan hingga 10 metrik tan padi bagi satu hektar. Rahsianya ialah sistem pengairannya yang sempurna.

  “Sebab itu hanya dengan mempunyai sistem pengairan dan prasarana perparitan yang bagus maka para petani di dalam kawasan DUN Bota ini boleh meningkatkan keluaran hasiI padi mereka,’’ katanya.

  Menurut Nasaruddin, ketika menjadi Ahli Parlimen Parit sebelum ini, beliau berjaya mendapatkan peruntukan RM5 juta bagi memperbaiki infrastruktur saliran air di Parit Satu hingga Parit Empat sekaligus memberi manfaat kepada 500 keluarga petani disitu.

 

  Namun katanya, usaha susulan bagi mendapatkan peruntukan bagi menambah baik sistem pengairan air membabitkan 3,000 keluarga petani dalam kawasan Parlimen Parit termasuk dalam DUN Bota tidak dapat diteruskan.

  Bagaimanapun, jelas Nasaruddin, beliau sedang berusaha mendapatkan peruntukan sebanyak RM60 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi memperbaiki sistem pengairan sawah yang diusahakan oleh 3,000 keluarga berkenaan.

  Beliau menarik perhatian, inisiatif membantu petani tidak wajar ditumpukan kepada aspek input pertanian semata-mata, sebaliknya perlu menjurus kepada usaha

meningkatkan ilmu anak-anak mereka.

  Tegas beliau, ia merupakan aset penting dalam menentukan kejayaan setiap insan kerana tanpa memiliki pendidikan yang secukupnya seseorang itu tidak mampu mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam hidupnya.

  “Pendidikan ini menentukan ke mana kita akhirnya dan dengan pendidikan yang cukup membolehkan seseorang itu membantu diri dan keluarganya kepada satu tahap kehidupan yang lebih terjamin,’’ katanya.

  Dalam konteks itu, jelas beliau, penduduk Bota wajar mengambil peluang dengan kedudukan kawasan Seri Iskandar yang merupakan antara hub pendidikan di Perak dengan wujudnya beberapa pusat pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

  “Jadi, dengan adanya pusat-pusat pengajian tinggi dan pusat latihan kemahiran ini, maka sudah semestinya penduduk Bota merebut segala peluang yang ada disitu,’’ ujarnya.

  Menurut Nasaruddin lagi, sebagai wakil rakyat beliau sentiasa berusaha untuk mempromosikan DUN Bota sebagai salah satu kawasana tarikan pelancong di negeri ini.

  Antara langkah yang sedang beliau ambil ialah menambah bilangan inap desa atau homestay di sepanjang Sungai Perak bagi membolehkan pelancong dalam dan luar negara menikmati keindahan alam flora dan faunanya.

 

“Sehingga ini, kita mempunyai lima buah homestay di DUN Bota dan kita bercadang menambah lagi bilangannya untuk memenuhi permintaan pelawat yang datang ke sini,’’ katanya.

Katanya, selain menyusuri Sungai Perak, mereka juga berpeluang melihat pusat ternakan dan penetasan tung-tung di Bota sambil berbasikal melalui jalan kampung dan merasai suasana sawah bendang dan sawit.