BIDOR: Kerajaan akan terus membantu rakyat yang kurang bernasib baik tanpa mengira kaum, sama ada Melayu, Cina, India atau Orang Asli.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau juga akan terus meninjau seluruh negeri untuk melihat sendiri masalah rakyat, termasuk kawasan yang Barisan Nasional (BN) tewas ketika pilihanraya.

Menurut Dr Zambry, sebagai Menteri Besar, beliau perlu menjaga kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan tempat.

“Kalau orang Melayu susah, kita akan buat rumah untuk mereka, kalau orang Cina susah, kita juga akan buat rumah untuk mereka,” katanya ketika berucap di Program Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian di Dewan Orang Ramai Kg Baru Bidor di sini pada Sabtu.

Program yang diadakan sempena program Permukiman Menteri Besar di Parlimen Tanjung Malim itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Dr Zambry berharap agar perpaduan masyarakat dapat dikekalkan demi menjamin rakyat terus menikmati keamanan dan kesejahteraan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pihak yang cuba menanam kebencian terhadap pemimpin dan kerajaan.

Sementara itu, Dr Mah yang juga ADUN Chenderiang berkata, Dr Zambry adalah seorang Menteri Besar yang sentiasa memikirkan kepentingan rakyat tanpa mengira batas kaum dan politik.

Di majlis itu, Dr Zambry turut menyampaikan sumbangan kotak makanan Yayasan Bina Upaya (YBU) kepada 100 penerima yang terdiri daripada rakyat setempat yang kurang bernasib baik.

Selain menikmati hidangan tengahari, hadirin dihiburkan dengan pelbagai persembahan tarian Melayu, India dan Orang Asli di samping muzik kaum Cina.