BAGAN DATUK – Parti-parti komponen Barisan Nasional diminta mencontohi gerak kerja UMNO yang membantu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua pihak tidak seharusnya berjuang hanya untuk kaum masing-masing kerana rakyat secara keseluruhannya mengharapkan kepedulian yang sama rata.

“Jangan jadikan parti yang dibentuk berlandaskan kepada kaum hanya berjuang untuk kaum masing-masing sahaja tetapi ianya perlu dilakukan untuk semua kaum di Malaysia.

“Ini kerana semua kaum mengharapkan parti-parti komponen terutamanya UMNO untuk mengambil kepedulian terhadap kebajikan seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 Biro Kebajikan UMNO Malaysia di sini pada Sabtu.

Tambah Ahmad Zahid, bantuan yang dihulurkan kepada rakyat itu juga tidak seharusnya dilakukan mengikut musim khususnya setiap kali menjelang Pilihan Raya sebaliknya berkala.

“Ia tidak harus bermusim, bila musim menuai baru sampai beras berguni..kita mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang.

“Semua pihak termasuk kementerian, jabatan dan agensi kerajaan hendaklah menyusun jadual agar soal memberikan kepedulian kepada rakyat tidak bermusim malah berjalan sepanjang masa,” ujarya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sambil disambut sorakkan lebih 8,000 hadirin.

Dalam majlis itu seramai 5,000 masyarakat yang terdiri daripada ibu tunggal, asnaf serta pelajar sekolah telah menerima bantuan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri.