IPOH – Semua pihak terutama pemimpin tempatan diharap dapat memberikan sokongan dan bantuan berterusan kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Pengarah Kolej Matrikulasi Perak (KMPk), Shashim Shah Harun berkata, sokongan serta bantuan dalam bentuk kewangan serta makanan itu dilihat bakal membantu pengajian pelajar.

“Pelajar-pelajar miskin dibantu dalam segi kewangan, makanan supaya mereka dapat bersama dengan pelajar lain dan meneruskan agenda kehidupan dengan merasai kenikmatan sama seperti orang lain.

“Kita harap dapat sokongan serta bantuan daripada pemimpin tempatan untuk salurkan bantuan kepada kita,” katanya selepas Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang dan Anugerah Kualiti KMPk di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, hari ini.

Sementara itu Shashim Shah berkata, pihaknya begitu berbangga dengan kesemua pensyarah KMPk yang memberikan komitmen tinggi dalam mendidik anak bangsa sehingga ke mercu tanda.

“Harapan saya mereka akan terus berikan komitmen bukan sahaja seperti pada masa atau sebelum menerima penghargaan, tetapi kerja kuat itu diharap berterusan sampailah ke akhir perkhidmatan mereka.

“Seperti yang selalu kita ingatkan, kena buat kerja yang untuk hasil yang luarbiasa. Kalau kerja biasa-biasa, hasilnya tetap biasa. Sekali gus mereka tunjukkan satu produktiviti yang mampu buatkan diri mereka dianggap sebagai orang yang terbaik,” katanya – sinar harian