Nama: Dato’ Sham Mat Sahat

Adun Alor Pongsu.

Isteri: Zakiah Abdul Rahman

Anak: 4 orang

Pendidikan Awal:

– Sekolah Kebangsaan Matang Gerdu, Bagan Serai 1968

– Sekolah Menengah Alang Iskandar 1978.

Pembabitan Politik:

– Bendahari UMNO Cawangan Batu 3 Parit Jawa.

– Jawatankuasa Pemuda UMNO

– Setiausaha UMNO Bahagian Bagan Serai 1999, 2005

– Naib Ketua UMNO Bahagian

– Timbalan Ketua UMNO Bahagian 2009

– Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai 2013.

‘Bapak’ Sham tumpu tingkat daya upaya golongan miskin, petani

PANGGILAN “bapak” dan “ibu” yang biasa digunakan oleh orang Indonesia menunjukkan sistem budaya yang menghormati orang. Panggilan itu membezakan antara budaya “hormat” dan gelaran lazim untuk bapa atau ibu dalam sesebuah keluarga.

  Itu di Indonesia. Tapi bagi sebahagian penduduk luar bandar terutamanya petani di Alor Pongsu, panggilan “bapak” juga cukup sinonim dengan wakil rakyat mereka, Dato’ Sham Mat Sahat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu.

  Selain sebagai tanda hormat, panggilan itu sering dikaitkan dengan sikap Sham yang sering mengambil berat mengenai hal ehwal kehidupan masyarakat kampung yang majoritinya petani sawah bendang dan ladang sawit.

  Di pekan pula, beliau dipanggil “YB” (Yang Berhormat) kerana sifat mesranya yang gemar membantu rakyat berbilang kaum, terutama golongan kurang upaya yang amat memerlukan bantuan.

  Sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat kawasan itu membuatkan Sham amat akrab dengan penduduk, lebih-lebih lagi dengan sikapnya yang terbuka dan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira perbezaan kabilah politik.

  “Baik Melayu, Cina dan India, mahupun yang berlainan fahaman politik, mereka boleh datang jumpa saya bila-bila masa dan saya akan tetap membantu menyelesaikan permasalahan mereka. Tiada batasan untuk berurusan kerana saya adalah wakil rakyat mereka,’’ katanya.

 

  Jika sebelum ini masalah peparitan, pengairan sawah bendang, jalan kampung dan banjir menjadi masalah utama penduduk kampung, tetapi masalah itu sudah dapat diselesaikan.

  “Isu banjir contohnya, yang kerap menjadi masalah kepada penduduk di DUN Alor Pongsu sejak sekian lama, kini sudah dapat diatasi dengan adanya projek tebatan

banjir.

  “Dengan adanya projek tebatan banjir ini, ia dapat mengurangkan kejadian banjir besar seperti yang pernah berlaku dalam kawasan DUN Alor Pongsu tidak lama dahulu,” ujarnya.

Fokus Masalah Rumah Golongan Miskin

 Menurut Sham, beliau pada masa ini, memberi fokus utama pula kepada masalah tempat tinggal rakyat, terutama golongan miskin, yang memerlukan pembelaan, seperti membaik pulih dan membina rumah baharu agar mereka dapat hidup lebih selesa.

  Katanya, setakat ini, hampir 300 rumah rakyat miskin di kawasan DUN Alor Pongsu memerlukan pembaikan atau digantikan dengan rumah baharu memandang kediaman penduduk terbabit sudah terlalu uzur.

  “Kawasan saya di Alor Pongsu ini majoriti penduduknya adalah miskin kerana tidak ada pendapatan tetap. Kawasan ini bukan lokasi industri. Sebelum ini, mereka berdepan masalah tanaman padi dan sawit rosak akibat banjir,” katanya.

 

 

Sham berkata, beliau yakin dengan adanya susur keluar Lebuhraya Utara Selatan di Alor Pongsu yang akan dibuka tahun depan, kawasan tersebut bakal berkembang pesat dengan kemasukan pelabur luar untuk membina kilang atau premis di kawasan tersebut.

  “Ini sekaligus dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan mengelakkan mereka daripada berhijrah ke tempat lain,” tambahnya.

  Dalam usaha membantu rakyat, beliau memberitahu, seramai 5 orang petugas

ditempatkan di pusat khidmat beliau yang dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

  “Saya akan sentiasa berusaha untuk berada di pusat khidmat sekiranya tidak mempunyai program di luar. Bagi saya, setiap aduan dan masalah yang dibawa rakyat wajar dilayani serta diselesaikan dengan kadar paling segera,” katanya.

  Selain di pusat khidmat, Sham juga kerap turun padang mengadakan dialog hujung minggu dalam keadaan tidak formal termasuk bersarapan bersama penduduk kampung.

“Ini satu cara untuk kita berdamping dan tahu masalah mereka. Jika masalah itu dapat diselesaikan segera, kita selesaikan di situ juga, tetapi sekiranya ia perlu dirujuk kepada kerajaan negeri, saya akan bawanya ke peringkat negeri untuk diselesaikan,” ujar beliau.