Tanjung Malim: Pembukaan Pejabat TH Cawangan Tanjung Malim di sini, semalam bakal memberi manfaat kepada lebih 22,000 pendeposit dan bakal jemaah haji di sekitar Daerah Tanjung Malim.

Majlis disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah TH, Datuk Rosni Sohar dan turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Badlisyah Abdul Ghani, Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Adi Azuan Abd Ghani dan Pengarah Tabung Haji Negeri Perak, Rozimin Ahamed Kamil.

Rosni berkata, perpindahan cawangan ini sejajar dengan inisiatif TH bagi menyediakan perkhidmatan lebih baik dan selesa kepada komuniti sekitar Tanjung Malim dan persempadanan Perak-Selangor.

“TH mempunyai 125 cawangan di seluruh negara dan satu cawangan di Jeddah, Arab Saudi manakala TH Tanjung Malim merupakan satu daripada 14 cawangan TH di Perak.

“Perpindahan cawangan ini sejajar dengan inisiatif TH bagi menyediakan perkhidmatan lebih baik dan selesa kepada komuniti sekitar Tanjung Malim dan persempadanan Perak-Selangor,” katanya.

Rosni turut menasihatkan pendeposit yang mempunyai akaun TH tidak aktif supaya mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan transaksi simpanan ataupun pengeluaran.

“Pengaktifan akaun ini bagi membolehkan pendeposit TH untuk mendapat semua manfaat serta hibah tahunan/hibah haji.

“Akaun yang tidak mempunyai sebarang transaksi selama tujuh (7) tahun akan diklasifikasikan sebagai akaun tidak aktif dan tidak layak untuk menerima sebarang manfaat.

“Selain pembukaan akaun TH, antara perkhidmatan lain yang ditawarkan di cawangan ini adalah urusan berkaitan haji, simpanan dan pengeluaran, hibah amanah dan penamaan waris.

“TH sentiasa komited dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat Islam selaras dengan visinya menjadi tonggak kejayaan ekonomi ummah.

“Ia juga diharap dapat memberikan akses terbaik kepada pendeposit dalam memperkasa dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Sebagai langkah meningkatkan kualiti perkhidmatan berterusan, kata Rosni, TH sentiasa mengambil perhatian terhadap segala maklum balas daripada pendeposit dari semasa ke semasa.

“Pendeposit yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan TH, boleh berhubung terus dengan TH Contact Centre (THCC) di talian 03 – 6207 1919 atau emel kepada th-info@lth.gov.my,” katanya.

Badan berkanun yang diperbadankan di bawah Akta Lembaga Tabung Haji 1995 (Akta 535) menjalankan aktiviti utamanya dalam pengurusan haji, tabungan dan pelaburan.

Antara sektor pelaburan terasnya adalah kewangan Islam, perladangan, hartanah, pembinaan, teknologi maklumat, dan hospitaliti – hmetro