IPOH: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan khas berjumlah RM720,000 untuk menyediakan kotak makanan bagi mengurangkan beban golongan sasar yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), susulan penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan sosial ini adalah inisiatif tambahan kerajaan negeri bagi membantu golongan yang memerlukan.

Ia termasuk mereka yang tidak dapat bekerja atau menjana pendapatan sepanjang pelaksanaan PKP selama 14 hari bermula 18 hingga 31 Mac ini.

Katanya, bantuan kotak makanan yang mengandungi barangan keperluan asas ini akan diagihkan melalui Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil dalam masa terdekat.

“Agihan akan dibuat oleh Pejabat Daerah dan pemilihan penerima
adalah atas budi bicara pihak Pejabat Daerah.

“Fokus adalah mereka yang memerlukan dan gaji harian atau bekerja sendiri tapi tidak dapat keluar bekerja sebab Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tiada proses permohonan, pihak Pejabat Daerah akan agihkan terus kepada penerima layak, penerima sedia ada Program Kad Perak Prihatin tidak termasuk kerana masih terus terima bantuan RM80/bulan untuk beli barangan asas,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan beberapa inisiatif bantuan khas bagi membantu golongan memerlukan di Perak.

Antaranya adalah bantuan sekali bayar (one-off) sebanyak RM500 kepada 4,000 penjaja dan peniaga kecil melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan khas bagi menanggung separuh daripada kos sewaan gerai makanan dan medan selera semua PBT selama dua bulan (Mac dan April).

Semalam, Ahmad Faizal telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM420,000 bagi sumbangan makan tengahari dan makan malam selama 14 hari untuk 1,500 doktor, jururawat dan petugas kesihatan.

Kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan khas RM160,000 bagi pembelian peralatan tambahan Jabatan Kesihatan Negeri.

Ia sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri di atas kerja keras dan pengorbanan warga Jabatan Kesihatan Negeri Perak dalam membendung penularan wabak Covid-19.