IPOH – Kerajaan negeri akan memberi bantuan khas berjumlah RM3 juta kepada 261 sekolah di seluruh Perak bermula awal November ini.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, bantuan khas itu akan melibatkan Sekolah Mubaligh, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan Cina.

“Pemberian ini akan diagihkan pada 2 November kepada 261 sekolah melibatkan 86,666 pelajar serta 5,082 bilik darjah.

“Saya nak tegaskan pendidikan merupakan bidang kuasa persekutuan dan bukan tanggungjawab kerajaan negeri, tapi di bawah Pakatan Harapan (PH), kami cukup perihatin tentang kebajikan murid-murid dan guru-guru oleh itu kita sedia beri bantuan sekadar mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) di sini pada Ahad.

Tambahnya, pemberian kepada sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan itu akan diagihkan berdasarkan jumlah per kapita murid di setiap sekolah.

Pecahan daripada 261 sekolah tersebut; 49 buah Sekolah Mubaligh, 84 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 17 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan 111 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Sementara itu, melalui konvensyen yang diadakan tersebut, Steven Chaw Kam Foon (ADUN Menglembu) telah berjaya dipilih menjadi Ketua DAPSY Perak yang baharu menggantikan Wong Kah Woh yang kini menjawat jawatan di dalam Jatawankuasa DAP negeri.