KUALA KANGSAR – Ibarat menunggu bulan jatuh ke riba, begitulah perasaan Dahalan Abdul Aziz, 41, pesakit barah kolon tahap dua yang mengharapkan bantuan jabatan-jabatan berkaitan untuk meneruskan kehidupan seharian.

Dahalan yang mesra disapa Lan disahkan menghidap barah kira-kira lima tahun yang lalu sebelum menjalani pembedahan membuang usus besar sepanjang sembilan sentimeter pada 24 Mac yang lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Selepas menjalani pembedahan, Lan terpaksa menggunakan beg najis yang dilekatkan di bahagian perut dan lampin pakai buang untuk menguruskan diri kerana ketidaksempurnaan sistem organ pembuangan.

“Kos sebulan untuk memenuhi keperluan tersebut mencecah lebih RM900 di mana RM800 untuk pelapik dan beg najis, RM120 untuk lampin pakai buang.

“Saya jadi buntu apabila memikirkan saya tidak mempunyai sumber kewangan untuk membelinya, sekadar mengharap bantuan dan ihsan daripada abang, Zainuddin Abdul Aziz, 45, dan simpati daripada rakan-rakan yang sudi memberi sumbangan,” kata beliau ketika ditemui Suara Perak baru-baru ini.

Lan tinggal bersendirian di rumah pusaka milik arwah ibu dan bapanya di Kampung Bunut, Kota Lama Kanan, di sini, menjalani kehidupan seharian atas ihsan, Zainuddin sekeluarga yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah tersebut.

Menyedari abangnya turut menghadapi pelbagai kekangan kewangan untuk menyara keluarga sendiri, lelaki ini gigih cuba mendapatkan bantuan yang layak buatnya daripada jabatan-jabatan berkaitan termasuk Baitulmal.

“Namun, saya kecewa apabila permohonan saya kepada Baitulmal sejak Mei lepas untuk mendapat bantuan keperluan perubatan tidak diberi keutamaan sepatutnya oleh Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) Daerah Kuala Kangsar, Perak.

Menurut beliau, pegawai dari Baitulmal telah mengadakan lawatan serta mengambil gambar bagi tujuan pengesahan namun, beliau tidak dimaklumkan status permohonan dan tiada jawapan yang diterima sehingga hari ini.

“Barah ini merupakan penyakit keturunan dimana arwah ibu Rodziah Ngah Othman, 55 dan dua saudara perempuannya turut maut disebabkan barah kolon.

“Ibu meninggal dunia pada Jun 2008, manakala ayah pula pergi terlebih dahulu pada Disember 2007,” katanya menahan sebak.

Menurut Lan, beliau pernah cuba untuk bekerja sebulan selepas pembedahan namun, keadaan kesihatannya semakin merosot apabila berat badannya berkurangan daripada 70 kg kepada 35 kg sahaja.

“Dalam keadaan sendi lemah sebab tu saya tak boleh bekerja. Pelapik dan beg najis menelan belanja RM200 untuk seminggu, Ia perlu ditukar setiap hari untuk mengelakkan jangkitan kuman. Sekurang-kurangnya RM800 diperlukan sebulan untuk membelinya.

“Manakala untuk lampin pakai buang pula, saya perlu menyediakan RM30 seminggu untuk dua bungkus lampin pakai buang dewasa yang mengandungi 22 keping. Saya hanya menggunakannya ketika waktu petang dan malam untuk menjimatkan kos yang menelan belanja sekitar RM120 sebulan. Saya cuba untuk pergi ke tandas pada waktu siang agar dapat meminimakan penggunaan lampin pakai buang setiap hari,” tambahnya.

Menurutnya, beliau tidak berkira mengenai soal makan, apa yang disediakan oleh Zainuddin, itulah yang dijamahnya. Jika abangnya keluar bekerja, maka beliau juga perlu mengikat perut, melainkan ada rakan yang datang menziarah.

“Kalau boleh saya nak minta Baitulmal kalau apa yang tidak diluluskan, pertimbangkanlah sebab saya pun memerlukan bantuan. Kalau harapkan saya seorang saya takkan boleh pergi ke depan.

“Jika boleh siapa-siapa yang sudi bantu saya, hulurkanlah sumbangan. kerajaan pun ambillah berat tentang orang-orang macam ni, orang-orang susah,” rayu Lan.

Lan yang telah berpisah dengan isterinya kini lebih banyak menghabiskan kehidupan seharian dengan terlantar dengan pergerakan yang terhad.

Keadaan hidupnya agak menyedihkan memandangkan rumah pusaka itu tidak dibaiki sepenuhnya, Lan hanya boleh mendiami ruang hadapan yang umpama stor kerana dipenuhi dengan pelbagai barang lama. Beberapa bahagian lain rumah tersebut juga bocor.

Selain makan minum, Lan bergantung kepada abangnya untuk bekalan air dan elektrik yang disambungkan dari rumah abangnya yang berhampiran.

Suara Perak berjaya mendapatkan MAIPk Kuala Kangsar untuk bertanya status permohonan Lan dalam mendapatkan bantuan kewangan.

Menurut pegawai yang dihubungi permohonan beliau telah diluluskan dan bantuan sebanyak RM400 diputuskan dalam mesyuarat pada 28 Ogos.

“Biasanya prosedur bagi sesuatu permohonan itu sememangnya mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk diproses yang melibatkan lawatan, siasatan dan laporan setelah pergi ke rumah pemohon.

“Ia kemudiannya akan dibawa ke dalam mesyuarat untuk dibentangkan sebelum dipersetuji dan meluluskan permohonan yang dibuat oleh pemohon,” ujar beliau.

Kepada mereka yang ingin meyalurkan bantuan dan sumbangan, boleh berbuat demikian melalui nombor akaun 7615915988 atas nama Dahalan Abdul Aziz CIMB Bank.

1/3