KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengambil maklum semua teguran pihak media, khususnya berhubung layanan dan kesukaran mendapatkan jawapan daripada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan baharu, pihak kementerian menerima banyak permohonan daripada pihak media untuk mengadakan wawancara khas.

“Memandangkan jadual Menteri Pertahanan yang agak padat dan bagi mempercepatkan proses,pihak kementerian melalui Unit Komunikasi Strategik terpaksa mengatur sesi wawancara dengan pihak media secara berkumpulan.

“Sejak 28 Mei hingga 12 Jun, lima siri wawancara sudah diadakan membabitkan 18 agensi media termasuk media cetak, elektronik dan media atas talian.

“Beberapa siri wawancara bersama agensi media yang masih berbaki akan menyusul namun tertakluk kepada jadual menteri pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Berhubung isu kawalan keselamatan yang ketat, pihak kementerian sudah memaklumkan kepada pengiring rapat (close escort) untuk membenarkan rakyat bergambar dengan Menteri Pertahanan, namun masih menitikberatkan faktor keselamatan.

Mengulas isu jawapan balas daripada Menteri Pertahanan terhadap soalan melalui aplikasi WhatsApp peribadi beliau, pihak kementerian ingin memaklumkan bahawa terdapat isu yang perlu diteliti dan mendapatkan pandangan dari pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum sebarang reaksi dikeluarkan.

“Pihak media dinasihatkan untuk memaklumkan lebih awal dan menggunakan saluran yang betul sekiranya mahu menemubual Menteri Pertahanan.

“Pihak kementerian sentiasa bersifat terbuka untuk membantu pihak media bagi memastikan setiap agensi media dapat memberikan laporan terbaik.

“Bagi tujuan itu pihak kementerian akan menganjurkan Majlis Hari Raya Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat dan semua media akan dijemput untuk memeriahkan majlis itu bersama menteri pertahanan,” katanya  – berita harian