MARAN: Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan 75 siri Program JobsMalaysia di seluruh negara dengan menyediakan kira-kira 250,000 peluang pekerjaan, sepanjang tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Mutallib, berkata pencari kerja berpeluang mendapatkan pekerjaan mengikut kemahiran dan tahap kelulusan mereka.

Pada tahun lalu, katanya, seramai 213,671 pencari kerja ditawarkan pekerjaan dalam Program JobsMalaysia membabitkan 91 program diadakan.

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 175,000 pekerjaan sudah diberi kepada pencari kerja dalam tempoh tersebut, iaitu lebih 122.1 peratus daripada sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

“Kejayaan ini berikutan kekerapan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengadakan Program Penempatan Pekerjaan (3P) sepanjang tahun lalu,” katanya.

Beliau ditemui selepas program santai bersama 200 belia dan remaja daerah ini, di sini, hari ini.

Selain itu, Ismail juga berkata, kira kira 20,000 jawatan kosong akan ditawarkan oleh 350 majikan pada Program Job Fair @ UTC 4.0 2018 yang akan diadakan di 13 Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat JobsMalaysia di seluruh negara, bermula 3 Mac ini.

Ahli Parlimen Maran itu berkata, Karnival Pekerjaan Maran 2018, yang diadakan awal bulan lalu di Arena YAM Tengku Muda Pahang, di sini, adalah yang pertama bagi tahun ini sebelum meneruskan jelajah ke seluruh Negara.

Katanya, daripada 2,500 pekerjaan yang ditawarkan dalam karnival itu, kira kira 1,653 jawatan kosong dapat diisi kepada pencari pekerjaan.

“Kita yakin lebih banyak pekerjaan akan dapat diisi mereka yang mencari pekerjaan melalui pelbagai tawaran pekerjaan yang dianjurkan dengan kerjasama majikan sepanjang tahun ini,” katanya – berita harian