IPOH – Pas menyarakan agar pentadbiran sekarang memperbanyakkan usaha dan program yang boleh meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kedudukan kontrak sosial.

Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) berkata, pendekatan itu bagi membolehkan rakyat memahami semula persetujuan dicapai pemimpin dahulu memandangkan isu ditimbulkan sekarang banyak yang menyentuh agama dan kaum.

“Kontrak inilah yang menjamin keamanan negara selepas peristiwa besar pada 1969 dahulu, tetapi dengan menyamakan kerjasama Pas – UMNO seperti taliban, semua ini sepertinya bertujuan mengisytiharkan perang kepada bangsa-bangsa lain.

“Apapun tujuannya dan siapapun yang mulakannya, ini boleh membina ruang bibit-bibit permusuhan antara kaum,” katanya pada sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sidang Dewan Negeri, hari ini.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memberi kesedaran kepada rakyat bahawa ada batas-batas perlu dipatuhi dan perkara dalam berlembagaan yang tidak boleh disentuh.

“Perkara itu termasuklah kedudukan Raja-raja Melayu dan agama Islam, keistimewaan pribumi serta bahasa Melayu.

“Jadi tak perlu kita bangkitkan mengenai ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) atau bercakap soal Statut Rom.

“Kita khuatir apabila disentuh, ia menjadi batu api mencetus perpecahan kaum yang menjadi kebimbangan kita hari ini,” katanya – sinar harian