CUACA panas serta kering secara tidak langsung meningkatkan kes tangkapan ular terutamanya di kawasan kediaman di Selangor.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Penolong Pesuruhjaya Pertahanan Awam, Mohd Yusoff Samad berkata, peningkatan sekali ganda berlaku pada bulan yang mengalami cuaca panas melampau berbanding bulan lain.

Menurutnya, kebiasaannya sebanyak 50 kes direkodkan sebulan, namun ia meningkat sehingga 100 kes terutamanya ketika cuaca panas.

“Ular adalah haiwan berdarah panas jadi haiwan ini memerlukan tempat yang sejuk. Sekarang ini musim kering jadi haiwan ini akan mencari tempat perlindungan yang lembap.

“Cuaca agak ekstrem kalau kita lihat sekarang, sekejap panas dan kadang-kadang saja hujan. Selain itu, faktor pembangunan juga antara penyebab kenapa ular ini keluar daripada ekosistem mereka.

“Selalunya di daerah Hulu Langat, Kajang dan Semenyih banyak kita tangkap ular jenis berbisa seperti tedung, rusuk kerbau dan kapak. Manakala, bagi daerah lain kebanyakan kita tangkap ular jenis biasa yang tidak berbisa,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Perutusan Amanat sempena Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-67 di Dewan Gemilang, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Selangor, Bukit Raja, di sini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan APM, Ahmad Afandi Mohamad.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata, pihaknya sudah menjangkakan peningkatan jumlah panggilan membabitkan ular ini dan sentiasa melakukan persediaan termasuk mengadakan latihan dalam kalangan anggotanya supaya lebih mahir menangkap reptilia itu.

“Masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati berikutan selalunya ular ini akan datang ke rumah. Jadi kena pastikan tiada kesan semak samun di rumah.

“Selain itu, kita nasihatkan orang ramai supaya tidak menangkap sendiri ular terutama yang berbisa kerana ia boleh mengancam keselamatan dan nyawa mereka sendiri,” katanya – Harian Metro