KUALA LUMPUR: Bapa model Mongolia, Altantuya iaitu Dr Setev Shaariibuu hari ini membuat laporan polis bagi membolehkan kes pembunuhan anaknya itu pada tahun 2006 dibuka semula.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

Peguam Dr Setev, Ramkarpal Singh, berkata pihaknya berharap laporan itu akan membuka kembali kes berkenaan untuk disiasat secara menyeluruh termasuk mendakwa individu bertanggungjawab terhadap pembunuhan Altantuya.

Pada masa sama, beliau berkata saksi terbabit dengan kes berkenaan termasuk anggota polis, Deputi Superintendan Musa Safri perlu dipanggil kembali untuk sesi soal siasat.

“Musa saksi penting, ia sesuatu yang perlu diambil berat oleh polis ketika membuat siasatan.

“Kita mahu tahu kenapa Musa malah bapa mangsa juga tidak dipanggil untuk membantu siasatan kes itu.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.

“Pada masa ini, paling penting sekali individu bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui di pekarangan IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

Ketika ditanya tempoh masa siasatan berkaitan akan dijalankan, Ramkarpal berkata ia akan mengambil masa tiga hingga empat bulan.

“Kita sebenarnya tidak bincang mengenai tempoh masa siasatan.

“Tempoh tiga, empat bulan itu jangkaan sahaja, ia mungkin berubah mengikut keadaan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pertemuan Dr Setev dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed petang ini, di Putrajaya akan berlangsung seperti dijadualkan.

“Perjumpaan dijadual berlangsung selama 30 minit bermula jam 5 petang ini.

“Dr Setev akan berangkat dari negara ini ke Mongolia esok,” katanya.

Semalam, BH Online memetik Ramkarpal sebagai berkata ada bukti dan petunjuk baharu bagi membuka semula siasatan kes pembunuhan Altantuya.

Ramkarpal berkata pihaknya optimis kes itu akan dibuka semula bagi siasatan lanjut bersandarkan motif siapa yang mengarahkan pembunuhan model terbabit – berita harian