KUALA LUMPUR: Pernah digelar ‘orang gila’ malah dibaling sampah ketika berjalan, semangat R Ragu, 43, dan anaknya Surya Ragu, 13, tetap teguh untuk meneruskan perjalanan sejauh 1,400 kilometer.

Dia tidak menyangka usahanya itu membolehkannya menerima pengiktirafan ‘Longest Distance Walk by Duo’ daripada The Malaysia Book of Records (MBR) selepas berjalan dari Johor ke Perlis, selama 26 hari sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.

“Ia adalah misi kelima sejak 2010 bermula dari Melaka ke Alor Setar diikuti tahun-tahun seterusnya dari Johor ke Perlis dan dari Ipoh ke Ipoh.

“Saya berasa terharu dengan pengiktirafan yang diberikan dan akan meneruskan misi berjalan kaki ini pada masa hadapan bersama semua anak,” katanya pada majlis penganugerahan MBR Live!, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Steven Sim dan Ketua Pegawai Operasi MBR, Datuk Michael Tio.

Sebanyak 62 rekod baru tercipta selama tiga hari MBR Live! diadakan bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia untuk mencipta keajaiban diri sekali gus mencipta nama sebagai pemegang rekod dalam negara.

Memiliki kaki bersaiz 13.1 inci membolehkan Thomas Ng, 52, dianugerahkan ‘Biggest Feet’.

Thomas berkata, dia terpaksa membuat tempahan kasut dan selipar dari luar negara memandangkan pengeluar tempatan tidak memiliki kasut bersaiz besar.

Sementara itu, Steven berkata, kerajaan serta KBS memuji program sedemikian untuk menggalakkan lebih ramai generasi muda mempamerkan bakat tersembunyi mereka.

Beliau berkata, kementerian menggalakkan lebih banyak sektor swasta, masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan untuk menunjukkan pencapaian mereka dan menjadi suara motivasi kepada orang ramai.

“Orang awam dan generasi muda seharusnya mempunyai semangat untuk meneruskan kecemerlangan.

“Kami mahu sektor swasta, kelab dan pertubuhan bukan kerajaan untuk keluar dan meningkatkan pencapaian mereka untuk melahirkan sesuatu yang besar.

“Kami berada dalam dunia perniagaan untuk mencipta rekod dunia dan kami sebenarnya sudah melakukannya, dengan menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum lalu dan membawa Malaysia baru,” katanya – berita harian