PETALING JAYA : Bapa kepada seorang bekas pelajar yang sebelum ini didapati bersalah memiliki 12 buku cenderung kepada gerakan militan IS tidak bersetuju dengan gesaan pihak tertentu supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan beberapa akta lain dimansuhkan.

Atam Jusoh, bapa Siti Noor Aishah berkata, walaupun anaknya pernah dijatuhi hukuman di bawah akta berkenaan, kewujudan akta itu membolehkan keselamatan negara terbela dan terus terjamin daripada anasir keganasan.

“Kalau kita ada satu bangsa sahaja (di dalam negara), saya setuju Sosma, Pota dan Poca ini dimansuhkan, tetapi kita hidup berbilang bangsa, jadi ini satu keperluan.
“Kena ada (akta-akta Sosma, Poca dan Pota). Kalau tidak, orang Melayu ini semakin lama semakin susah,” katanya kepada FMT.

Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk memansuhkan atau meminda Sosma dan lima akta lain sebelum pilihan raya umum tahun lalu.

Akta lain adalah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sosma diluluskan Dewan Rakyat pada 17 April 2012, diberi perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 18 Jun 2012 dan diwartakan pada 22 Jun 2012.

Di bawah Sosma, seorang pegawai polis boleh menangkap dan menahan mana-mana orang tanpa waran selama 24 jam dan melanjutkan tempoh penahanan tidak lebih 28 hari bagi tujuan penyiasatan.

Atam Jusof

Atam berkata, beliau juga kecewa dengan keputusan mahkamah yang membatalkan dua pertuduhan tambahan e atas ahli Dewan Undangan (Adun) P Gunasekaran kerana didakwa terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Saya kecewa. Apabila orang Islam terlibat seperti itu diambil tindakan habis-habisan. Kita lemah, pemimpin kita lemah dengan tekanan bangsa lain. Saya tidak setuju dia dibebaskan, sepatutnya dia dihukum seperti yang berlaku ke atas anak saya.

“Saya cukup-cukup sedih. Apabila berlaku pada bangsa sendiri, tindakan keras diambil. Apabila berlaku kepada bangsa lain, nampaknya kerajaan kita ini mengalah. Saya tidak setuju dia dibebaskan begitu sahaja,” katanya.

Atam memberi respons terhadap cadangan beberapa pihak termasuk mereka dari Pakatan Harapan yang meminta undang-undang itu dimansuhkan susulan penahanan dan pertuduhan terhada[ 12 orang berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa Sosma akan dipinda secepat mungkin, sekiranya sempat pindaan itu akan dilakukan pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Manakala, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pula memberitahu Sosma tidak akan dimansuhkan namun hanya akan dipinda bagi menambah baik pelaksanaannya.

Menurut Muhyiddin, Sosma masih relevan namun pandangan sesetengah pihak perlu diambil supaya akta berkenaan dapat ditambah baik baik, seperti mengurangkan tempoh reman tahanan daripada 28 hari kepada 14 hari.

Pada masa sama, Atam turut menasihati individu yang berhasrat mengikut perjuangan pengikut IS membatalkan hasrat mereka yang menurutnya hanyalah satu perkara sia-sia.

“Mereka yang ikut (perjuangan IS) ini sebenarnya diperalatkan. Ia merugikan Islam sendiri. Jadi, belajar ilmu, didik anak bangsa adalah lebih baik. Lebih baik pertahankan negara,” katanya.

Pada 26 April 2017, Siti Noor Aishah, 30 dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah memiliki 12 buku berkaitan IS.

Ketika membacakan keputusan, Hakim Mohamad Shariff Abu Samah memerintahkan beliau menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 22 Mac 2016.

Siti Noor disabitkan bersalah mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan Sosma.