SULAWESI: Seorang bapa di Bulukumbu di sini, berkata, jika hukuman membenarkan, dia mahu merejam anak lelakinya ke dalam laut hingga mati kerana berkahwin dengan adik kandungnya.

Ansar Mustamim, 32, dan adik bongsu dikenali sebagai FI, 20, bernikah tanpa pengetahuan keluarga selepas diwalikan sepupu mereka di Balikpapan, Kalimantan, pada 23 Jun lalu.

Wanita berkenaan yang menjadi isteri kedua abangnya itu, kini hamil empat bulan.

Media Indonesia melaporkan, bapa kandung mereka, Mustamim berkata, dia mahu hukuman setimpal dijatuhkan terhadap dua beradik itu kerana memalukan keluarga dan melanggar ajaran agama.

Tribun News melaporkan, Mustamim merelakan dua anaknya itu dimasukkan ke dalam guni dan dibuang ke dalam laut.

Dua beradik berkenaan meminta izin daripada keluarga untuk melawat Balikpapan pada awal Jun lalu dan berkahwin di sana.

Bagaimanapun, rahsia perkahwinan mereka terbongkar selepas anggota keluarga menerima kiriman gambar dan video akad nikah.

Pasangan terbabit kemudiannya dilapor melarikan diri ke Surabaya, Jawa Timur.

Mereka pada asalnya merancang ke Australia, namun terpaksa membatalkan niat itu kerana sukar mendapatkan visa.