JOHOR BAHRU – Tiga lelaki dan seorang wanita mengaku tidak bersalah di tiga mahkamah berasingan di sini semalam atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun antara Februari hingga pertengahan Ogos lalu.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh, G. Viswanathan yang merupakan bapa kandung mangsa membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan, Viswanathan, 36, yang merupakan pekerja swasta di Singa­pura dituduh menganiayai kanak-kanak berkenaan hingga mengalami kecederaan fizikal di No. 31, Jalan Camar 5, Taman Perling di sini bermula Februari hingga 14 Ogos 2017.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

-Kosmo