KUALA LUMPUR: Tindakan kejam seorang bapa yang menghentak anak kandungnya berusia empat bulan ke lantai sehingga bayi itu mengalami pendarahan otak dan koma, mendapat pembalasan apabila dia dipenjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap gelandangan, Mohd Amri Ismail, 29, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu.

Zaman memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 5 November 2017.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Zaman berkata, mesej jelas perlu disampaikan kepada masyarakat supaya penderaan kanak-kanak tidak menjadi kes berterusan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Amri didakwa cuba membunuh bayi lelakinya yang ketika itu berusia empat bulan sehingga menyebabkan pendarahan otak akibat dihentak ke lantai di sebuah bilik sewa di Lorong Haji Taib, Chow Kit, di sini pada jam 7.30 malam, 4 November 2017.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun serta boleh didenda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang, hendaklah dipenjara hingga 20 tahun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sariaty Zainal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya bermula dari tarikh dia ditangkap.

Ketika disoal Zaman adakah dia sedar perbuatannya itu boleh menyebabkan anaknya meninggal dunia, Mohd Amri menjawab ringkas, “Saya sedar. Saya menyesal buat anak saya begitu” katanya.

Amirah bagaimanapun memohon mahkamah memberi hukuman wajar terhadap tertuduh dengan mengambil kira keadaan bayi itu yang tidak sedarkan diri ketika dibawa ke hospital.

“Jika bayi itu terlambat dibawa ke hospital, ia boleh menyebabkan kematian. Ini kesalahan serius dan sepatutnya sebagai bapa perlu menjaga anak kandungnya dengan baik. Ketika ini terlalu banyak kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak berlaku.

“Diharap hukuman terhadap tertuduh dapat memberikan mesej kepada masyarakat supaya tidak bersikap sambil lewa terhadap anak,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menjaga anaknya ketika ketiadaan ibu angkat bayi itu dan sejurus selepas wanita itu pulang ke rumah, tertuduh menyuruh wanita itu membawa bayi berkenaan ke hospital.

Hasil siasatan mendapati, bapa angkat bayi itu melihat tertuduh mencampak bayi berkenaan lalu cuba menghalang perbuatan tertuduh, namun tidak dihiraukannya.

Doktor yang memeriksa bayi itu dimaklumkan bayi itu terjatuh. Pemeriksaan mendapati terdapat pendarahan pada otak bayi yang ketika itu berada dalam keadaan koma – berita harian