TAPAH: Perjalanan anak beranak ke Kuala Lumpur berakhir dengan tragedi apabila seorang pemandu treler maut dalam kejadian melibatkan dua treler muatan besi panjang di Kilometer 315.6 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Selatan dekat sini  awal pagi Rabu.

Mangsa, T.Gopinath, 43, yang juga merupakan pemandu sebuah treler muatan besi panjang maut di tempat kejadian manakala anaknya pula, G. Selvan, 19 mengalami kecederaan ringan.

0d5ee186-a83b-486b-ac0e-0feda08738b2Ketua Polis Daerah Tapah, Asisten Komisioner Som Sak Din Keliaw berkata mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur bersama anaknya sebelum terlibat dalam kejadian itu.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang menuju ke Kuala Lumpur cuba memotong treler yang dipandu mangsa di tempat kejadian sebelum hilang kawalan.

“Semasa cuba memotong, treler di lorong kanan hilang kawalan dan menghimpit pemandu treler di mana mangsa terkena besi panjang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya kepada pemberita dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Som Sak berkata berikutan itu pihaknya mendapati pemandu treler yang hilang kawalan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini ditahan bagi saringan air kencing dan siasatan lanjut.

“Mangsa yang berasal dari Kulim, Kedah telah dibawa ke Hospital Tapah bagi bedah siasat dan kes disiasat sepenuhnya di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya lagi.