GEORGETOWN: Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan dua anaknya melecur menggunakan air panas pada Disember lalu.

Tertuduh, Edy Noramin Ramli, 41, yang bekerja sebagai jurujual kad prabayar, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Edy didakwa dengan niat mencederakan dengan cara menggunakan air panas sehingga melecur badan terhadap anak perempuannya yang berumur lapan tahun di Flat Kampung Melayu di Air Itam, antara jam 1 hingga 2 pagi pada 28 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Edy didakwa melakukan perbuatan yang sama kepada anak lelakinya yang berumur sembilan tahun di tempat, waktu, dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan terbabit.

Rosnee kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan iaitu larangan mendekati mangsa.

Katanya, kes akan disebut semula pada 12 Februari hadapan bagi menunggu laporan perubatan, sebelum hukuman dapat diputuskan.

Edy diwakili peguam Edmund Anthony Hermon manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yassinnisa Begam Seeni Mohideen.

Pada Disember lalu, NSTP melaporkan seorang kanak-kanak perempuan melecur disiram air panas oleh bapanya sendiri selepas dia dipercayai menghabiskan makanan keluarganya.

Mangsa yang juga anak perempuan tunggal daripada empat beradik, melecur di lengan, rusuk dan dada kanan, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Selepas kejadian itu, Edy bersama isteri dan anak bongsunya melarikan diri sebelum berjaya diberkas polis sembilan hari selepas itu – berita harian