Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TELUK INTAN: Seorang ibu dan anak perempuannya rentung apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam satu kejadian di Jalan Maharaja Lela, Batu 6 1/2, Hutan Melintang di sini pada awal pagi Rabu.
Kejadian pada jam 3.30 pagi itu meragut nyawa S. Kalaivani, 48, dan anak perempuannya, G. Vikneswary, 13.
Manakala, R. Ganasegaran, 51, cedera parah akibat terjun dari rumah yang terbakar itu setelah gagal menyelamatkan anak dan isterinya.
Lebih menyayat hati, mayat Kalaivani dan Vikneswary ditemui berpelukan di ruang tamu dan dipercayai maut terhidu asap.
Ketika api marak, kedua-dua beranak itu berada di bilik tingkat atas rumah berkenaan.
Pengarah Bomba dan Penyelamat (BBP) negeri Perak, Datuk Yahaya Madis berkata, mereka dipercayai cuba keluar menyelamatkan diri namun gagal ekoran asap tebal dan api yang marak.
“Orang ramai memaklumkan terdapat dua mangsa terperangkap di dalam rumah. Anggota bomba cuba untuk memasuki rumah namun api terlalu marak.
“Ia memaksa kami mengawal kebakaran terlebih dahulu sebelum berjaya masuk dan menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan berpelukan,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, jurucakap BBP Hutan Melintang berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden kebakaran itu pada pukul3.53 pagi.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah rumah kelas B sedang terbakar 80 peratus. Kami menemui mayat mangsa iaitu dua wanita berusia 48 dan 13 tahun ketika operasi memadamkan api.
“Difahamkan, seorang lelaki yang dipercayai bapa kepada remaja perempuan itu mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut jurucakap itu, pihaknya terpaksa memecahkan pintu masuk bagi memadamkan api menggunakan tiga pancutan air 200 kaki dari semua arah rumah itu.
“Operasi itu diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Tuan Soh Tuan Lah dan mengambil masa lebih tiga jam. Ia tamat pada kira-kira jam 7.45 pagi,” katanya.