DHAKA – BANGLADESH. Tidak tahan menanggung penderitaan menjaga anak serta cucunya yang sakit sejak sekian lama, seorang bapa merayu perintah kebenaran untuk menamatkan hayat mereka.

Permintaan itu mencetuskan perdebatan dalam masyarakat konservatif.

“Saya telah menjaga mereka selama bertahun-tahun. Saya membawa mereka ke hospital di Bangladesh dan India.

“Saya menjual kedai untuk membiayai perbelanjaan perubatan namun sekarang saya terdesak,” kata Toffazzal Hossain menerangkan mengenai penderitaan yang terpaksa ditanggung bagi menjaga dua anak lelaki dan cucunya.

Menurut Toffazzal, kerajaan perlu membuat keputusan apa yang perlu dilakukan terhadap mereka.

“Mereka menderita dan tidak mempunyai harapan untuk pulih.

“Saya tidak mampu menanggungnya lagi,” katanya dipetik AFP.

Toffazzal seorang penjual buah-buahan menulis kepada pihak pentadbiran daerah tempatan merayu untuk membantu menjaga orang tersayang yang menderita muscular dystrophy atau membenarkannya menamatkan hayat anak serta cucunya dengan menggunakan ubat,” katanya.

Bangladesh adalah salah satu negara termiskin di Asia yang kekurangan penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan percuma untuk berpuluh juta penduduknya yang hidup di bawah garis kemiskinan.

Dianggarkan 600,000 warga Bangladesh mengalami penyakit tidak boleh diubati, namun negara ini hanya mempunyai sebuah pusat penjagaan paliatif dan tiada perkhidmatan hospis.

Ini adalah faktor menyebabkan anak serta cucu Toffazzal berusia 24 dan 13 tahun serta cucu berusia lapan tahun yang menghidap Duchenne Muscular Dystrophy sukar mendapatkan rawatan.

Toffazzal berkata, anak-anaknya menyedari kekurangan mereka yang tidak mampu menguruskan diri sendiri, tidak boleh bergerak dan hanya berada di katil manakala cucunya boleh ke tandas sendiri namun keadaan semakin teruk.

“Saya memberitahu mereka mengenai surat itu. Saya memberitahu mereka (meminta kebenaran untuk kematian mereka). Mereka tidak mengambil perhatian serius mungkin mereka tidak memahami bagaimana teruknya keadaan sebenarnya,” katanya.

Anak sulung Toffazzal berusia 24 tahun, Mohammad Abdus Sabur menghabiskan hari-harinya menonton televisyen dan bersembang dengan bapanya.

Sementara itu, doktor yang merawat keluarga Toffazzal, Mahbubul Alam berkata, tiada penawar keadaan mereka dan hidup dalam kesakitan.

“Setiap orang harus tampil untuk memberi bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pegawai kerajaan yang melawat keluarga itu selepas rayuan Toffazzal mendapat perhatian seluruh negara berkata, permintaan itu adalah pengakuan oleh seorang bapa yang tidak lagi berdaya.

“Dia meminta bantuan perubatan atau menamatkan hayat anaknya. Tetapi siapa yang akan memberi kebenaran sedemikian,” katanya.

Pihak berkuasa sedang berusaha untuk membantu lelaki berkenaan menanggung kos jagaan keluarganya itu.

-SinarHarian