MICHIGAN: Seorang budak lelaki berusia tiga tahun di Michigan, Amerika Syarikat (AS) dilanggar bapanya secara tidak sengaja sebanyak dua kali.

Dalam kejadian semasa sambutan Hari Halloween, 31 Oktober lalu, ABC13melaporkan bahawa kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan.

Jabatan sheriff Ottawa County melancarkan siasatan berhubung insiden tersebut.

Sebaik siasatan dimuktamadkan, kes berkenaan akan diserahkan kepada pendakwa raya sama ada bapa mangsa akan berdepan dengan pertuduhan.

Bapa kanak-kanak itu memberitahu pihak berkuasa bahawa pintu belakang keretanya terbuka ketika kejadian.

Dua anak lelakinya, masing-masing berusia tiga dan tujuh tahun, duduk di tempat duduk belakang, dengan kedua-dua kaki mereka tergantung di salah satu pintu.

Menurut laporan, pihak berkuasa kini menyiasat sama ada budak tiga tahun itu terjatuh atau melompat daripada van yang dipandu bapanya.

Saksi yang melihatkan kejadian itu memberi amaran kepada bapa kanak-kanak berkenaan supaya menghentikan kenderaan.

Bapa mangsa kemudian mendengar bunyi tangisan sebelum menghentikan kenderaan.

Bagaimanapun, dia secara tidak sengaja mengundurkan kenderaan dan melanggar anak lelakinya sekali lagi.

Insiden tersebut menyaksikan bapa berusia 36 tahun itu melanggar anaknya sebanyak dua kali, dengan memandu ke depan dan mengundurkan kenderaan.

Kanak-kanak malang itu kini dirawat di hospital. – Philippine Daily Inquirer/Asia News Network