Miri: “Sayang mama…rindu mama.” Itu antara perkataan tertulis di luar dinding sebuah rumah usang dihuni empat beradik di Kampung Wireless di sini, ketika diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri, petang kelmarin.

Kisah empat beradik berusia antara tiga hingga 10 tahun itu masing-masing tiga perempuan dan seorang lelaki menjadi tular di laman sosial selepas didakwa ditinggalkan bapa mereka selama tiga hari tanpa makan dan minum.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan JKM melalui Facebook (FB) agensi berkenaan sambil memaklumkan bapa kanak-kanak itu terpaksa meninggalkan anaknya kerana keluar bekerja.

“JKM sudah mengambil tindakan. Terima kasih
di atas keprihatinan masyarakat sehingga bantuan dapat disalurkan kepada keempat-empat beradik berkenaan.

“Mereka kini dalam jagaan saudara mereka,” kata jabatan itu semalam.

Menurut JKM, ibu kepada kanak-kanak terbabit tidak tinggal bersama kerana melarikan diri tetapi agensi terbabit tidak dapat memastikan punca sebenarnya kejadian itu – hmetro