KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur menyita pelbagai barangan tiruan berjenama terkenal bernilai RM63,500 dalam serbuan ke atas 14 premis di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN), Low Swee Hon, berkata serbuan dijalankan susulan aduan diterima daripada pemilik jenama asal berhubung penjualan produk tiruan menggunakan jenama mereka di sekitar ibu negara.

“Antara barangan yang disita adalah baju, topi, selipar, jam tangan, beg galas, beg tangan, dompet, kasut, baju, seluar, tali pinggang, cermin mata gelap, semburan pewangi, headphone, bateri dan power bank.

“Ia membabitkan jenama The Doctor 46, Redbull, Adidas, Nike, Puma, Tommy Hilfiger, Micheal Kors, Burberry, Gucci, Louis Vuitton, Prada, Chanel, Yves Saint Laurent, Beats, Samsung, Casio, G-Shock, Baby-G, Daniel Wellington dan Ray Ban,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi – berita harian