IPOH: Sempena Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, para penyokong dan peminat sukan boleh mendapati lebih 26 jenis barangan rasmi Sukma Perak 2018 di semua 60 rangkaian gedung sukan terkemuka, Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd (Al-Ikhsan) di seluruh negara mulai 30 Ogos ini.

Ketua Pemasaran Al-Ikhsan, Mizal Ghazali berkata produk-produk rasmi Sukma seperti baju polo, topi dan cenderamata boleh mula didapati mulai hari ini di gedung Al-Ikhsan cawangan di Ipoh Parade, manakala jualan produk rasmi di cawangan-cawangan lain bermula 30 Ogos ini.

“Al-Ikhsan juga akan turut membuka gerai-gerai jualan di semua 39 venue acara seperti di Stadium Perak, pada sepanjang penganjuran temasya sukan tahunan itu berlangsung.

“Menariknya, semua barangan rasmi Sukma Perak 2018 juga boleh diperolehi secara atas talian menerusi pautan www.shopee.com.my/ALsports bermula 1 September ini, khusus untuk mereka yang berminat tetapi berada jauh dari outlet Al-Ikhsan,” katanya

.

“Antara barangan yang ditawarkan ialah baju-T berkolar dan baju leher bulat yang mempunyai lapan jenis reka bentuk serta warna yang berbeza-beza, topi, beg, seluar tracksuit, jaket varsiti dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada masjlis serahan replika cek para penaja kepada Sekretariat Sukma Perak 2018 di Pasa Raya Ipoh Parade, di sini, pada Rabu.

Ujarnya lagi, patung maskot Sukma Perak 2018, ‘Chor’ dijangka akan menjadi tarikan utama pembeli yang mana ianya boleh didapati bermula dengan harga RM29.

Majlis tersebut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim yang mewakili Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu serta Ketua Pegawai Eksekutif Sukma, Musa Dun.

Al-Ikhsan yang menyumbang tajaan sebanyak RM3.2 juta itu merupakan antara tiga syarikat yang menjadi penaja pantinum Sukma Perak 2018.

Selain Al-Ikhsan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyumbang tajaan dengan nilai sebanyak RM4.4 juta dan Telekom Malaysia (TM) pula menumbang sebanyak RM3.07 juta.