BARCELONA memastikan gelaran juara La Liga musim ini kekal milik mereka apabila menewaskan Granada 3-0 dalam perlawanan terakhir saingan awal pagi semalam.

Ia kemenangan ke-24 gergasi Sepanyol itu dengan penyerang berbisa, Luis Suarez meledak hatrik pada perlawanan di Nou Camp itu.

Tiga jaringan penyerang Uruguay sekali gus menjadikannya pemain pertama dalam tempoh tujuh tahun berjaya mengatasi Ronaldo dan Lionel Messi sebagai pemenang anugerah penjaring terbanyak liga dengan mengumpul 40 gol.

Barcelona mantap di puncak carta La Liga dengan memperoleh 91 mata, satu mata di depan Real Madrid (90 mata) di posisi kedua.

“Kami bermain sangat baik di sepanjang musim ini, kami sudah bertahan di puncak liga sejak lama dan menjadi pasukan paling konsisten untuk mengejar gelaran juara.

“Saya sangat gembira untuk semua penyokong Barca, untuk keluarga kami dan juga kelab. Ada individu yang begitu menderita dalam masa tertentu sebelum ini dan sekarang kami ingin menang trofi lain musim depan.”

“Saya akan mengingati saat-saat kegembiraan ini dan mereka yang menyokong kami di saat-saat kami berdepan keadaan sukar,” kata pengendalinya, Luis Enrique.