IPOH: Walaupun Ops Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 baru dilancarkan 29 Mei lalu, jumlah kematian yang dicatatkan di Ipoh sama dengan jumlah kes sepanjang operasi yang sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, sepanjang Ops Selamat tahun lalu, sebanyak 624 kes kemalangan dilaporkan dengan tiga kematian.

Bagaimanapun, katanya, baru tiga hari Ops Selamat tahun ini, sebanyak 24 kes kemalangan dilaporkan dengan 3 kematian.

“Kita harap orang ramai lebih berhati-hati di jalanraya, ikut peraturan yang ditetapkan, saman yang dikeluarkan semata-mata untuk mendidik,” katanya ketika ditemui selepas perasmian kempen keselamatan jalanraya anjuran Persatuan Jemaah Jaksa-Jaksa Pendamai Perak, di Plaza Tol Ipoh Selatan, pada Sabtu.

Hadir sama Presiden persatuan, Datuk Ab Wahab Datuk Seri Azizul Hasan; Timbalan Presiden, Tan Sri Darshan Singh; Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd. Khairul Jamil dan Pegawai Pasukan APM Ipoh, Idham Idris.

Mohd Ali berkata, bagi operasi tahun ini, pihaknya memberi tumpuan kepada tiga kawasan ‘hotspot’ yang kerap berlaku kemalangan dan dua kawasan ‘blackspot’ kawasan kemalangan maut.

Menurutnya, tiga kawasan ‘hotspot’ ialah sepanjang jalan Kuala Kangsar; Jalan Jelapang – Chemor dan Jalan Sultan Nazrin Shah dari Kampung Rapat – Simpang Pulai manakala dua kawasan ‘blackspot’ ialah Kilometer 2 – 3 Jalan Ipoh – Lumut dan Kilometer 20 – 30 Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands.

Sementara itu, Ab Wahab berharap pengguna lebuhraya akan menggunakan segala kemudahan yang terdapat di kawasan rehat dan rawat serta hentian sebelah, sekiranya letih dan mengantuk.

“Harapan kita agar semua dapat balik kampung dengan selamat untuk berhari raya dengan keluarga tersayang,” ujarnya.