Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Belum pun beraksi di padang, peminat bola sepak telah dikejutkan dengan cerita bas pasukan JDT yang disimbah dengan cat di Ipoh.

Malah, kejadian tersebut berlaku di kawasan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Sungai Senam di sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata pihaknya mendapat laporan tersebut melalui rondaan pihak polis yang melalui lokasi kejadian.

“Semasa membuat rondaan di kawasan FRU 5, pihak polis telah terdengar bunyi di parkir tempat letak bas milik pasukan bola sepak JDT.

“Pihak polis kemudian bergegas ke kawasan berkenaan dan mendapati kelibat dua orang lelaki di luar pagar kawasan tersebut dan sejurus selepas itu telah melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bas milik pasukan bola sepak Harimau Selatan itu telah dibaling dengan cat di bahagian belakang.

Jelas beliau,, pihaknya akan melaksanakan siasatan lanjut dan sehingga kini identiti suspek dan nombor plat motosikal itu belum dapat dikenalpasti.

Sum berkata pihaknya juga menjumpai beg plastik pecah yang mengandungi cat di atas tanah di bahagian belakang bas berkenaan.

“Suspek dipercayai membaling cat dari luar pagar iaitu seberang sungai dalam jarak 25-30 meter dari lokasi bas berkenaan diparkir dalam kawasan FRU,siasatan lanjut akan dilaksanakan,” ujarnya lagi.