GUNUNG SEMANGGOL – Asap tebal berpunca dari bahagian tayar bas menyebabkan kesemua penumpang kenderaan itu terselamat daripada kebakaran sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 200, Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam lebih kurang jam 1.30 pagi, pemandu bas bersama kesemua penumpang kenderaan itu dikatakan sempat keluar sebaik terhidu bau hangit daripada asap itu.

Difahamkan pemandu bas itu dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur, namun jumlah keseluruhan penumpang kenderaan itu masih belum dapat dipastikan.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kamunting, PBK II Nasir Wahab berkata, pihak bomba menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 1.40 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Tiga jentera bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Kamunting dan Taiping kemudiannya tiba di lokasi kejadian dan didapati api sedang marak hampir 70 peratus dari keseluruhan bas itu.

“Tiada mangsa dikenal pasti mengalami kecederaan memandangkan kesemuanya telah keluar dengan selamat.

“Kesemua mereka kemudiannya dihantar ke Hentian Rehat dan Rawat(R&R) Taiping,” katanya kepada media di sini awal pagi tadi.

Nasir berkata, kerja pemadaman api dibuat bersumberkan air dari tangki jentera dan operasi berjaya ditamatkan pada jam 3.55 pagi.

-Sinar Harian