IPOH: Kompleks Mahkamah Ipoh gempar apabila sebuah bas Perak Transit terbabas dan merempuh pagar serta beberapa buah kenderaan yang terdapat di dalam perkarangan bangunan berkenaan.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu tiada mangsa terlibat dan bas dari arah Kuala Kangsar berkenaan tidak membawa penumpang.

Menurut saksi kejadian, Osman Bakar, 51, bas tersebut terbabas selepas mengelak sebuah kereta datang dari arah bertentangan yang cuba membuat pusingan U.

Tambahnya, ketika kejadian, bas tersebut juga dilihat dipandu dengan laju sehingga menyebabkan ianya sukar dikawal dan merempuh pekarangan kompleks mahkamah berkenaan.

“Bas itu laju, lepas itu ada satu kereta daripada arah bertetangan buat pusingan-U tapi kereta itu perlahan sangat.

“Jadi nak mengelak kereta itu, bas tersebut terus membelok dan melanggar pagar banggunan ini dan juga van saya yang dipakir di dalam,” katanya ketika ditemui ditempat kejadian pada Isnin.

 

 
Seorang lagi saksi, D. Thevapriya, 34, rempuhan tersebut telah mengakibatkan satu bunyi letupan yang kuat sehingga menakutkan pekerja di mahkamah berkenaan.

“Saya sedang cuci tangan, tiba-tiba dengar bunyi sangat kuat sehingga menakutkan semua orang di dalam.

“Bila saya tengok luar nampak bas itu dah pun melanggar van serta beberapa lagi kereta pekerja mahkamah yang parkir di dalam,” jelasnya.

Polis Daerah Ipoh ketika dihubungi Suara Perak memberitahu pihaknya akan mengeluarkan laporan lengkap mengenai kejadian itu dalam masa terdekat.