EMPAT motosikal pelanggan yang dihantar ke bengkel di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, dirempuh bas RapidKL yang terbabas ke kaki lima hadapan premis berkenaan, pagi tadi.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, bas berkenaan dikatakan mengalami masalah teknikal sebelum hilang kawalan dan meluncur naik ke atas laluan pejalan kaki di lokasi kejadian.

Saksi kejadian, Ismail Mohd Ali, 49, berkata, ketika kejadian dia sedang menunggu pekerja di bengkel berkenaan membaiki motosikalnya sebelum terdengar bunyi seperti letupan kuat.

“Ketika itu kami berada di luar premis sebelum terdengar bunyi kuat. Saya menjerit pada orang awam dan kami sama-sama lari masuk ke dalam kedai kerana terkejut.

“Kami kemudian keluar semula dan mendapati bas berada di atas laluan pejalan kaki, ia menyeret motosikal saya dan beberapa motosikal lain. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pemilik bengkel Tan Khoon, 40-an, berkata, selain motosikal milik Ismail, tiga lagi motosikal pelanggan turut mengalami kerosakan kerana dilanggar bas dan anggaran kerugian mencecah ribuan ringgit.

“Saya akan membuat laporan polis berhubung kejadian. Mungkin pemilik kenderaan boleh menuntut bayaran insurans untuk membaik-pulih motosikal masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap RapidKL Azhar Ghazali berkata, bas terbabit yang dalam perjalanan dari Kota Damansara ke Pasar Seni, membawa 10 penumpang.

“Hasil siasatan kami mendapati punca kejadian disebabkan masalah teknikal sebelum hilang kawalan.

“Bas ditunda ke Balai Polis Jalan Bandar, 10:38 pagi. Pemandu dan penumpang tidak mengalami kecederaan,” katanya – hmetro