KUALA LUMPUR: Tindakan pantas kapten bas laluan 772 Pasar Seni – Mah Sing mengendalikan situasi cemas dalam insiden bas Rapid KL terbakar secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan di Lebuhraya Persekutuan 4.50 petang tadi, berjaya menyelamatkan tujuh penumpang bas itu.

Rapid KL dalam satu kenyataan berhubung kejadian berkata bas tersebut dalam perjalanan menghala ke Subang dan ketika berada berhampiran susur keluar Jalan Templer, kapten bas terdengar bunyi pelik di bahagian belakang bas.

“Secara kebetulan terdapat kereta peronda polis yang mengekori belakang bas membunyikan siren dan kapten memberhentikan bas di tepi jalan serta mengarahkan penumpang turun dari bas sebelum beliau cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam, tetapi tidak berjaya.

“Kapten bas menghubungi pihak bomba yang berjaya memadamkan kebakaran. Rapid KL akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian,” demikian menurut kenyataan itu.

Semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemua mereka meneruskan perjalanan dengan menaiki bas seterusnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya Pegawai Bomba Kanan Hishamuddin Mustafa berkata seramai 14 anggota dengan dibantu tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Beliau berkata setibanya di lokasi pasukannya mendapati terdapat kebakaran sebuah bas yang diletakkan di tepi bahu jalan dan bomba segera melakukan operasi pemadaman yang dapat dikawal kira-kira 10 minit kemudian.

— BERNAMA