LUMUT: Selepas Rapid Kamunting dilaksanakan dua tahun lalu, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid), anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad memulakan khidmat Rapid Manjung mulai 1 Mac lalu.

Sebagai permulaan, inisiatif Rapid bersama-sama kerajaan negeri Perak dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyediakan 10 buah bas dan akan ditambah dari semasa ke semasa sehingga 30 buah bas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika melancarkan perkhidmatan Rapid kedua di Perak itu berterima kasoh kepada syarikat itu dan NCIA kerana bekerjasama dengan ikerajaan negeri melalui pendekatan Strategi Lautan Biro Kebangsaan (NBOS) bagi melaksanakan program pengangkutan awam di negeri ini.

“Hasil daripada perbincangan bersama dengan pihak ncia dan juga dengan pihak rapid, kita ingin mempunyai sistem pengangkutan awam, khususnya bas, yang lebih tersusun dan juga lebih baik dari segi keadaan bas dan sebagainya.

“Alhamdulillah, berpandukan kepada beberapa pendekatan strategi yang dilakukan oleh kerajaan negeri, kita telahpun mewujudkan zon-zon bagi penyediaan pengangkutan awam yang berkesan di  negeri perak kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu di Dataran Maritim Lumut, di sini pada Jumaat.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafik, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid, Mohd Azam Omar dan Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Dr Zambry berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya di bandar-bandar besar.

Beliau memberi contoh di Ipoh terdapat Perak Transit dan  di Taiping terdapat Rapid Kamunting yang memberi perkhidmatan di kawasan-kawasan luar bandar di kawasan berkenaan.

“Kita juga sedang merancang di kawasan-kawasan lain, di bandar-bandar besar, khususnya bandar-bandar yang mempunyai kadar kepesatan penduduk yang tinggi, yang memerlukan perkhidmatan yang lebih tersusun dan efisyen,” ujarnya.

Beliau memberi contoh, antara bandar besar itu ialah Teluk Intan, Bagan Datuk dan Tanjung Malim.

Sementara itu, beberapa penduduk Manjung melahirkan rasa gembira kerana mendapat perkhidmatan pengangkutan awam yang telah terbukti keberkesanannya.

Mohd Rafiq Mohd dari Bandar Baru Seri Manjung berkata, sejak dimulakan 1 Mac lalu, bas Rapid Manjung banyak memberi kebaikan kepada penduduk-penduduk di sekitar Lumut, Seri Manjung dan Sitiawan.

“Ia dapat membantu anak-anak muda yang masih tiada kenderaan menaiki kenderaan-kenderaan awam ini untuk pergi kerja ataupun kanak-kanak yang masih bersekolah, boleh  menaiki bas yang disediakan,” katanya.

Beatrice Veronica dari Sitiawan pula mencadangkan supaya laluan Rapid Manjung di panjangkan ke Sitiawan supaya lebih ramai rakyat boleh menggunakannya.

“Mungkin boleh cadangkan laluan jalan besar, khususnya untuk hotel-hotel dekat Sitiawan, jadi ramai pelancong boleh menggunakannya untuk ke tempat-tempat pelancongan atau membeli belah di Lumut,” ujarnya.