TANJUNG MALIM: Sebuah bas merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 400.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Tanjung Malim menghala Lembah Beringin, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Akibat kemalangan itu, lima penumpang bas mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital oleh orang awam. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tanjung Malim, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.08 pagi.

“Setiba di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah bas merempuh belakang sebuah treler.

“Seramai lima orang dihantar ke hospital sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian melakukan operasi pemantauan di kawasan kemalangan.