Kuala Pilah: Seramai 24 penumpang sebuah bas ekspress berdepan detik cemas apabila kenderaan itu terbabas di Kilometer 19, Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran restoran D’ Sawah, Ulu Bendul di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi, kenderaan itu cuba mengelak kereta yang membuat pusingan U sebelum terbabas dan memasuki longkang.

Menceritakan kejadian, pemandu bas, Ahmad Tarmimi Zulkafley, 28, berkata, dia bersyukur apabila semua penumpang terselamat.

Katanya, dia memandu dari Terminal 1, Seremban untuk menurunkan penumpang di daerah ini dan juga Jempol.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta Proton Gen 2 dari arah sama membuat pusingan U di hadapan restoran. Disebabkan itu saya memaut stereng bas ke kanan bagi mengelak bertembung kenderaan itu.

“Bagaimanapun bas terbabas ke kanan lalu memasuki longkang,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Ahmad Tarmimi berkata, mujur ketika itu tiada kenderaan lain datang dari arah bertentangan jika tidak mungkin sesuatu buruk berlaku.

“Selepas kemalangan, saya berlari ke arah tempat duduk penumpang. Saya menarik nafas lega apabila semuanya selamat,” katanya sambil memberitahu bas itu turut dinaiki bayi berusia empat bulan.

Ahmad Tarmimi memaklumkan semua penumpang dipindahkan ke bas lain sebelum perjalanan diteruskan semula.