KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat keputusan untuk membatalkan 10 projek bernilai RM1 bilion bertujuan mengurangkan kos perbelanjaan agensi itu pada tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, bagaimanapun mengesahkan ia tidak membabitkan projek Yayasan Wilayah Persekutuan atau Greater KL-Lembah Klang.

“Projek yang dibatalkan itu adalah yang belum ditawarkan dan masih dalam proses tender. Keputusan dibuat selepas kita menilai daripada pelbagai sudut.

“Keputusan ini dibuat bukan atas nasihat Majlis Penasihat Kerajaan tetapi oleh pengurusan tertinggi DBKL.

“Kita batalkan untuk mengurangkan perbelanjaan kita tahun ini. Kita rasa sudah cukup dengan projek yang ada tahun ini. Antara projek itu adalah tempat meletak kereta, projek jalan dan kelab sukan kerana membabitkan isu tanah.

“Projek Greater KL dan Yayasan Wilayah Persekutuan tidak termasuk dalam pembatalan itu. Dalam projek Greater KL, ia projek Persekutuan dan DBKL hanya berperanan sebagai pengawas projek berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Mhd Amin hanya memberitahu media yang DBKL membuat keputusan membatalkan 10 projek bernilai RM1 bilion selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, tetapi tidak menjelaskan butiran projek berkenaan.

Projek Greater KL-Lembah Klang adalah inisiatif projek mega pada masa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) manakala Yayasan Kuala Lumpur terbabit dalam projek pembinaan rumah mampu milik.

Sementara itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan enggan mengulas keputusan dibuat DBKL sama ada mempunyai kaitan dengan pertemuan itu atau sebaliknya – berita harian