IPOH – Kegembiraan penduduk Kampar untuk menerima hospital baharu yang diluluskan pembinaannya pada 2012 berkecai apabila cadangan itu dibatalkan atas beberapa alasan.

Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen berkata, hospital bernilai RM150 juta yang pada mulanya menggunakan kaedah kerjasama awam swasta telah ditangguhkan sehinggalah Kementerian Kesihatan memutuskan untuk tidak meneruskannya.

Menurutnya, ia kerana tapak ditetapkan di bandar Agacia, Taman Kampar Putra adalah kawasan bekas lombong yang mana komposisinya 40 peratus tanah dan selebihnya air memerlukan peruntukan tinggi bagi tujuan rawatan tanah.

“Sebab kedua adalah Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) bercadang membina hospital bercirikan hospital pengajar iaitu 4 kilometer (km) dari tapak cadangan pembinaan hospital baharu itu,” katanya ketika sidang media di Pejabat DAP Perak, semalam.

Chung Sen berkata, pada 25 Julai lalu, pihaknya menerima jawapan bertulis Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Subramaniam bagi pertanyaan lisan di dalam Dewan Rakyat mengenai pembinaan hospital tersebut.

Beliau berkata, alasan diberikan tidak dapat diterima memandangkan hospital sedia ada di daerah ini tidak mampu menampung keperluan 120,000 penduduk, tambahan pula struktur bangunan sudah lama.

Katanya, beberapa kondominium dan pangsapuri telah dibina di kawasan berhampiran tapak pembinaan hospital baharu tanpa sebarang masalah membuktikan komposisi tanah bukan tidak boleh diatasi.

“Kedua-dua bangunan ini lebih 20 tingkat, manakala hospital baharu dengan 150 katil yang dicadangkan tidak akan melebihi lima tingkat.

“Cadangan hospital di Utar tidak dapat menggantikan keperluan hospital baharu, malah alasan jarak 4km tidak boleh diterima pakai. Kita ambil contoh di Ipoh, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berada di keliling hospital swasta yang lain dengan jarak 5km,” katanya.

Jelasnya, keadaan itu menyukarkan penduduk kerana terpaksa ke Ipoh atau ke Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan serius memandangkan di Hospital Kampar tiada doktor pakar, kemudahan terhad termasuk hanya 90 katil, tiada kemudahan ultrasound atau imbasan CT, malah bilik pembedahan untuk pembedahan kecil sahaja.

“Hospital Kampar tidak dapat berfungsi dalam keadaan sekarang untuk tahun-tahun mendatang sekiranya tidak dinaik taraf.

“Dengan jumlah penduduk yang meningkat saban tahun, keperluan untuk membina hospital baharu serba lengkap sangat diperlukan rakyat,” katanya.

-Sinarharian