SUNGAI SIPUT: Penduduk Kampung Enggor, Sungai Siput yang sibuk bergotong-royong membersihkan kawasan bangunan lama sekolah agama Al-Dinniah gempar dengan penemuan sebatang besi lama sepanjang satu meter yang disangka bom peninggalan tentera Jepun.

Penemuan sebatang besi yang menyerupai bom lama itu pada jam 10.45 pagi tadi menyebabkan mereka lari lintang pukang menyelamatkan diri kerana bimbang objek berkenaan meletup.
Bagaimanapun setelah mendapat pengesahan Unit Pemusnah Bom PDRM bahawa batang besi sepanjang satu meter itu sebenarnya bukan bom lama penduduk meneruskan program gotong-royong mereka.

Menurut Ketua Program, Siti Norlizawati Narawi, beliau dan penduduk lega apabila polis mengesahkan batang besi lama itu sebenarnya bukan bom lama peninggalan tentera Jepun.

“Saya dan penduduk yang sibuk membersihkan kawasan terpaksa lari menyelamatkan diri sebaik menjumpai batang besi yang menyerupai bom lama ditemui di kawasan sekolah yang kami bersih.

“Pada zaman tahun 1941, bangunan lama ini pernah menjadi kubu tentera Jepun dan kami mengesyaki ia adalah bom lama.’’ Katanya kepada pemberita pada Program Gotong- Royong Rakyat sempena kunjungan Delegasi China-ASEAN Pelancongan Antarabangsa (CAITA) di Kampung Enggor pada Khamis.

 

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintendan A. Pamneswaran berkata, penduduk Kampung Enggor tidak perlu bimbang dan boleh meneruskan aktiviti gotong-royong kerana polis mengesahkan objek besi itu bukan bom lama.

“Memang pada awalnya kita syaki batang besi bom kerana bentuknya yang mirip tetapi setelah diperiksa oleh unit pemusnah bom mendapati ia bukan bom lama peninggalan tentera Jepun,” katanya.