Lebih daripada 12 buah kampung di sekitar tiga daerah di negeri ini terjejas dengan banjir kilat berikutan hujan lebat tiada henti sejak petang Sabtu.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata setakat pukul 10 pagi Ahad, antara daerah yang terlibat adalah Batu Gajah, Lenggong dan Gerik.

Menurutnya sistem perparitan yang tersumbat serta air yang melimpah daripada sungai berhampiran merupakan punca banjir kilat tersebut.

Kata beliau bagi kawasan Hulu Perak, seawal pukul 4 pagi, penduduk yang tinggal di sepanjang Jalan Gerik-Baling mengalami kesulitan apabila kawasan perkarangan rumah mereka dinaiki air berpunca dari air bertakung,

“Paras air naik setinggi hampir satu meter. Pihak kami telah membuka sebuah pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Gerik dan memindahkan seramai 4 orang yang terdiri daripada dua orang warga emas dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Bomba juga telah membantu memindahkan mangsa ke pusat pemindahan dengan menggunakan bot penyelamat ,”katanya ketika dihubungi pagi Ahad.

 


Katanya, antara kawasan yang terjejas adalah Kg Kerunai, Kg Padang, Kg Ramasamy, sekitar bendang kerajaan, Pekan Gerik, Taman Permai, Taman Desa Kasih, Taman Air Suda 1 dan Taman Air Suda 2.

Sementara itu, di Lenggong, banjir kilat dengan paras air setinggi setengah meter telah menjejaskan beberapa kediaman penduduk di Kampung Beng di mana air telah memasuki ke dalam rumah mereka serta merosakkan harta benda.

Bagaimanapun, pihak pengurusan telah mengambil keputusan untuk tidak memindahkan seramai 12 mangsa terlibat di sekitar kampung kerana paras air masih terkawal.

Pemantauan setiap 2 jam sedang dijalankan bagi memastikan penduduk dapat dipindahkan apabila keadaan memerlukan, katanya.

 

Bagi kawasan Batu Gajah, paras air yang melimpah berikutan sistem perparitan yang tersumbat sekitar di Batu 3, Jalan Tualang telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk sehingga awal pagi Ahad.
“Selain kesesakan berikutan air melimpah ke jalan raya, sebuah rumah juga terjejas berikutan paras air yang naik setinggi 0.3 kaki namun setakat ini tiada sebarang keperluan untuk membuka pusat pemindahan dan memindahkan mangsa.

“Operasi pemantauan dan pengawalan trafik oleh anggota RELA telah ditamatkan sekitar pukul 9 pagi,”jelasnya.

Tambahnya, setakat ini paras air di ketiga-tiga daerah di Perak itu telah turun dan berada dalam keadaan selamat dan terkawal walaupun hujan masih renyai masih berlaku sehingga pukul 11 pagi ini.

“Pihak kami akan bekerjasama dengan pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Malaysia dalam memastikan semua penduduk selamat, dan pemantauan berkala akan dijalankan setiap 4 jam,”katanya lagi.